SHERRY Ibrahim.
SHERRY Ibrahim.
Najiy Jefri

Pelakon Sherry Ibrahim tidak berminat untuk melakukan publisiti murahan sebagai cara pemasaran bagi mempromosikan produk miliknya.

Sherry berkata, dia percaya dengan kualiti produk yang diketengahkan mampu menarik minat pembeli.

“Saya akui memang ramai orang menggunakan strategi viral sebagai salah satu cara untuk memperkenal dan melariskan produk.

“Saya percaya jika kita buat sesuatu perkara dengan baik pasti hasilnya juga baik. Saya juga percaya dengan kualiti produk dan strategi pemasaran sedia ada iaitu mendekati pelanggan dengan cara turun padang,” katanya.

Ditanya mengenai penghijrahannya bertudung buat tahun kedua, Sherry berkata, dia bersyukur perubahan yang dipilihnya memberi satu kehidupan baru dalam hidupnya.

“Alhamdulillah rezeki saya semakin murah dengan tawaran demi tawaran yang datang. Cuma tidak dinafikan ada watak yang terpaksa ditolak kerana tidak bersesuaian dengan imej berhijab. Saya percaya Allah itu maha adil dan rezeki ada di mana-mana,”katanya.

Pasti ramai sudah ketahui Sherry kini dalam fasa mengenali hati budi seseorang namun belum bersedia bercerita lebih lanjut.

“Jujur saya bahagia dengan seseorang. Cuma, apa saya boleh kongsikan, perhubungan kami masih dalam fasa perkenalan. Sejujurnya, saya sibuk dengan beberapa komitmen kerja dan perniagaan, jadi belum ada sebarang perancangan ke arah lebih serius,” katanya.

Sherry yang juga pelakon drama Syurga Yang Kedua berkata, selagi tiada ikatan yang sah, dia tidak mahu terlalu bercerita mengenai hubungan mereka.

Bagaimanapun, Sherry akui rakan rapatnya sudah mengenali jejaka itu kerana sering lepak dan makan bersama.

“Selagi belum merisik atau bertunang, biarlah hubungan ini menjadi rahsia peribadi saya. Lagipun, sebagai wanita tidak manis jika terlalu berkongsi sesuatu yang belum pasti. Insya-Allah jika ada perancangan lebih serius atau sebarang majlis ditetapkan, saya pasti berkongsi,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mei 2018 @ 3:35 AM