TRIO adik-beradik bakal terbit single baru, Sucker selepas 5 tahun berpecah.
TRIO adik-beradik bakal terbit single baru, Sucker selepas 5 tahun berpecah.
Syafil Syazwan Jefri


SELEPAS sekian lama akhirnya Jonas Brothers kembali bersatu dan bersiap sedia beraksi untuk peminat mereka.

Minggu lalu, Nick Jonas, 26, Joe Jonas, 29, dan Kevin Jonas, 31 mengesahkan mereka akan membuat kemunculan semula selepas lima tahun berpecah.

Satu lagi khabar baik buat peminat mereka ialah Jonas Brothers bakal hadir dengan single baru berjudul Sucker.

Sejak minggu lalu juga, trio adik-beradik itu ditemu bual media antarabangsa dan berbicara mengenai bagaimana tercetus idea untuk kembali aktif.

Pada 2018, Joe beraksi sebagai jurulatih dan juri pada program The Voice Australia dan kerana itu dia terpaksa meninggalkan Amerika Syarikat buat beberapa bulan.

Jonas Brothers yang pada ketika itu dalam proses pembikinan dokumentari mereka menjalankan penggambaran di Australia.

Nick mengakui idea banyak tercetus ketika berada di bumi kangaru itu.

“Australia cukup istimewa kerana di situlah tercetus idea untuk kami bersatu semula,” katanya.

Menurutnya, tahun

2012 dan 2013 mencatat detik paling sukar buat mereka.

"Apabila difikirkan semula, dua tahun itu sangat sukar buat kami dan keluarga.

“Jadi, agak makan masa untuk menyusun semula segala-galanya,” katanya.

Video muzik single baru band ini sangat menarik kerana turut dijayakan Priyanka Chopra iaitu isteri Nick, Danielle Jonas (isteri Kevin) dan Sophie Turner (tunang Joe).

Selain itu, Jonas Brothers juga sudah memberikan bayangan akan beraksi di pentas konsert yang turut disertai rakan gandingan mereka dalam filem Camp Rock, Demi Lovato.

Pastinya berita gembira ini disambut riang peminat yang sudah lama menantikan kemunculan semula mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 12:00 PM