PERKENALAN ketika mengikuti program #Dekatjetour di Kedah, dua tahun lalu. FOTO Aziah Azmee
PERKENALAN ketika mengikuti program #Dekatjetour di Kedah, dua tahun lalu. FOTO Aziah Azmee
Michelle Gun

Sikap menghormati orang tua antara sebab penyampai radio Kool FM, Rea memilih pemain dram Drama Band, Faeez Ikhwan Abdul Halim sebagai suami.

Rea, 29, atau nama sebenarnya, Tengku Nor Suriya Tengku Mohamad berkata, dia tertarik melihat Faeez melayan ibu bapanya seperti raja.

“Orang kata, kalau mahu mengetahui sikap sebenar seseorang, tengok cara dia melayan ibunya,” katanya.

Pasangan ini selamat diijab kabul di sebuah majlis ringkas di Kota Damansara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Rea berkata, sepanjang tempoh berkenalan, suaminya tidak pernah meninggikan suara terhadapnya apabila berlaku perselisihan faham.

“Apabila ada masalah, suami akan diam dan saya pula yang banyak bercakap," katanya.

Bercerita detik pertemuan dengan suaminya, Rea yang berasal dari Kuala Terengganu berkata, dia berkenalan dengan Faeez pada program #Dekatjetour anjuran stesen radio Hot FM di Kedah dua tahun lalu.

“Saya menaiki bas jelajah bersama beberapa artis termasuk Drama Band. Ketika itu, saya cuma kenal penyanyi Drama Band iaitu Aepul. Kali pertama pandang Faeez, saya tidak rasa apa-apa,” katanya.

Rea berkata, ketika dalam bas, dia duduk bersebelahan Faeez selepas selesai mengambil gambar kenangan bersama barisan artis berlatarkan kenderaan itu.

“Tiba-tiba, pemandu menekan brek secara mengejut menyebabkan saya hampir terjatuh. Kebetulan Faeez di sebelah dan membantu saya dari terjatuh. Sejak kejadian itu, kami mula berhubung menerusi media sosial. Kami kemudian bertukar nombor kerana saya perlu berurusan dengan Drama Band dan selepas itu hubungan kami semakin erat,” katanya.

REA yang ditemani ibunya sebak selepas selamat diijabkabulkan. FOTO Aziah Azmee
REA yang ditemani ibunya sebak selepas selamat diijabkabulkan. FOTO Aziah Azmee

Februari lalu, pasangan itu melangsungkan pertunangan mereka di kediaman keluarga Rea di Kuala Terengganu.

Sementara itu, Faeez menyifatkan isterinya sebagai seorang yang sopan dan merendah diri.

“Ketika bekerja, dia banyak bercakap kerana tugasannya sebagai penyampai radio. Namun, di luar konti, dia sebenarnya seorang yang santai,” katanya.

Pada majlis akad nikah, Rea menerima mas kahwin RM300 selain menyerahkan tujuh dulang hantaran dibalas lima daripada pihak pengantin lelaki.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 November 2018 @ 12:01 PM