DEEPIKA (kanan), dan Ranveer adakan majlis tertutup di Lake Como semalam. -Foto Agensi
DEEPIKA (kanan), dan Ranveer adakan majlis tertutup di Lake Como semalam. -Foto Agensi
AFP

MUMBAI: Pasangan bintang popular Bollywood, Deepika Padukone dan Ranveer Singh, berkahwin di Itali, lapor media India hari ini.

Mereka berkahwin dalam majlis peribadi di Lake Como semalam, menurut agensi berita Press Trust of India.

Mereka belum memberi ulasan atau menyiarkan gambar majlis berkenaan yang ditutup kepada media.

Padukone, ialah antara aktres menerima bayaran termahal di India dan pernah membintangi filem Hollywood, ‘xXx: Return of Xander Cage’, di samping Vin Diesel.

Padukone, 32, dan Singh 33, mengumumkan bulan lalu akan berkahwin pada 14 dan 15 November.

Mereka dilaporkan mula menjalin hubungan pada 2013 tetapi merahsiakan cinta mereka.

Pengarah filem Karan Johar, yang juga rakan kepada pasangan itu, mengucapkan tahniah menerusi tweet.

“Pasangan yang cantik dan menawan!!! Tahniah!!! Sayang kamu berdua!!!” tulisnya semalam.

Pasangan pengantin itu pernah berlakon bersama termasuk epik kontroversi awal tahun ini yang mencetuskan bantahan ganas di utara India.

Padukone melakonkan watak ratu Hindu dan Singh sebagai pemerintah Islam dalam filem itu, yang menaikkan kemarahan golongan konservatif, sebahagiannya membakar set perfileman dan mengancam kedua-dua pelakon berkenaan.

Seorang lagi pelakon, Priyanka Chopra dan penyanyi Amerika Syarikat, Nick Jonas, dijangka berkahwin di India awal bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 November 2018 @ 2:52 PM