Man Senoi (kanan) masih belum temui penyelesaian dengan Ramani. FOTO HM Digital
Man Senoi (kanan) masih belum temui penyelesaian dengan Ramani. FOTO HM Digital
Ridzuan Abdul Rahman


“SAYA sudah baca kenyataan yang dikeluarkan oleh Ramani dan ia agak mengelirukan.

“Dia nak jaga kepentingan MUSIC Rights Malaysia Berhad (MRM) tetapi menekan Performers Rights & Interest Society of Malaysia Berhad (PRISM),” kata komposer Othman Masri, susulan kenyataan dikeluarkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MRM, R Ramani Ramalingam mengenai hak mengurus royalti yang diberikan kepada mereka.

Othman, 65, atau lebih dikenali sebagai Man Senoi yang kini bertindak sebagai penasihat Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA) berkata, dia dan PRISM pernah berbincang dengan MRM berkenaan perkara itu tetapi masih tidak menemui jalan penyelesaian.

“Saya bercakap perkara ini dari sudut pelaku dan pemerhati industri dan tidak mewakili mana-mana pihak.

“Saya tengok mereka cuba merungsingkan orang ramai dengan menyalahkan satu lagi pihak dan ia bukan tindakan yang baik.

“Perkara utama perlu dilihat adalah kami (pelaku) sudah memberikan MRM mandat dan kenapa mereka tidak mengutip royalti seperti yang diamanahkan?,” katanya kepada Harian Metro.

MRM mengadakan sidang media, Isnin lalu lalu dan mengeluarkan kenyataan meminta agar terus diberi kepercayaan untuk menguruskan kutipan pelesenan muzik utama di negara ini.

Mereka turut menggesa penggiat seni agar tidak mudah mempercayai khabar angin dan propaganda ‘tidak baik’ disebarkan oleh pihak tertentu di media sosial mengenai MRM.

Selain itu, mereka turut memaklumkan berlaku penurunan pendapatan badan pelesenan itu sebanyak 53 peratus pada tahun lalu sekali gus kejatuhan royalti yang sepatutnya diagihkan kepada penulis lirik, penerbit, syarikat rakaman dan artis pada tahun ini.

Pada 27 Jun lalu, pengagihan royalti sebanyak RM12.6 juta dibuat kepada MACP dan RM6.3 juta kepada PPM manakala bayaran sebanyak RM6.3 juta kepada RPM dan PRISM ditangguhkan sementara menunggu tuntutan berdasarkan penggunaan/ konsensus untuk pelaku rakaman.

Othman yang mencipta nama ketika menguruskan kumpulan 4U2C dan menghasilkan lagu untuk kumpulan itu berkata, MRM cuba mengalih tumpuan pelbagai pihak terhadap kelemahan mereka.

“MRM dilihat tidak telus dalam perkara ini dan sebagai orang lama dalam industri, saya melihat ia perkara yang tidak betul.

“Jika mereka tidak boleh menunjukkan ketelusan dan menggalas mandat diberikan ada baiknya mereka letak jawatan dan berikan kepada orang lain.

“Jika mereka enggan, kami akan tunggu Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) untuk mengubah keadaan. Mungkin juga kami akan buat bantahan menerusi surat rasmi terhadap mereka,” katanya.

Othman turut meminta agar AGM dibuat secara terbuka dan bukannya tertutup agar semua 7,000 ahli pelaku berhak menentukan pemimpin yang dipilih.

“Saya berharap ada pihak akan menerangkan apa hak pelaku atau pencipta lagu dan penulis lirik serta penyanyi.

“Mereka sebenarnya mempunyai hak dan kuasa yang besar untuk menaikkan atau menurunkan seseorang pemimpin.

“Saya berasakan MRM ada agenda sendiri dan tidak sepatutnya agenda tersembunyi digunakan untuk kepentingan peribadi,” katanya.

Berita berkaitan:Biar MRM saja urus royalti

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 September 2018 @ 4:12 PM