Tajul sering dikaitkan dengan arwah Achik. FOTO NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN
Tajul sering dikaitkan dengan arwah Achik. FOTO NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN
Norhayati Nordin


PENYANYI lagu Sedalam Dalam Rindu, Tajul, 20, akui tidak kisah gaya dalam persembahan nyanyiannya masih disamakan seperti Allahyarham Achik Spin.

Ia jelas dipersembahkan Tajul dalam muzik video single terbarunya, Kembalilah Rindu yang dimuat naik di YouTube sejak sebulan lalu.

Sudah mencatat lebih 400,000 tontonan, kebanyakan pelayar YouTube yang meninggalkan komen mengaitkan gaya Tajul persis abangnya itu.

Anak bongsu daripada 10 beradik ini, hanya mengucap syukur di atas setiap komen positif diterima daripada penonton muzik video itu.

"Terima kasih terus menyokong karier nyanyian saya. Apa saja komen ditulis itu diterima dengan lapang dada.

"Saya cuba menyanyi dengan gaya sendiri. Tapi, biasalah kalau adik-beradik sedikit sebanyak tetap ada persamaan," katanya.

Mengulas juga komen negatif ditulis padanya, Tajul berkata dia selesa tak ambil peduli dan membiarkan saja.

"Saya tahu, ada orang suka dan ada juga sebaliknya. Saya tak boleh paksa untuk orang sukakan saya dan persembahan dibuat.

"Jadi, terpulanglah pada penilaian masing-masing. Sebagai penyanyi, saya sudah lakukan tanggungjawab kerja saya sebaik mungkin.

"Apapun, saya masih baru dan pengalaman pun dalam proses giat ditimba. Saya perlukan masa untuk perbaiki kelemahan diri yang ada," katanya.

Berbicara juga perihal dirinya yang sentiasa nampak tenang, Tajul berkata itu memang perwatakan dirinya yang sebenar.

"Saya adalah orang yang tenang. Sebab itu, dalam persembahan saya ekspresi muka sentiasa nampak bersahaja,

"Saya sudah selesa begitu. Apapun, saya tidak pernah kecil hati dengan apa saja kritikan diberikan. Itu hak masing-masing," katanya.

Mula dikenali menerusi YouTube, Tajul atau Tajul Arif Noor Md Shari berkata dia gembira dapat meneruskan legasi bakat seni yang ditinggalkan oleh Allahyarham Achik.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 September 2018 @ 8:06 PM