RITA Rudaini. FOTO NSTP
RITA Rudaini. FOTO NSTP
Sudirman Mohd Tahir


PELAKON Rita Rudaini, 42, menyifatkan kebahagiaan sesebuah perkahwinan bukan diukur pada usia pasangan tetapi sejauh mana persediaan untuk memikul tanggungjawab sebagai suami isteri.

Rita yang pernah berkahwin dengan Aidil Zafuan ketika pemain bola sepak pasukan Johor Darul Takzim (JDT) itu berusia 21 tahun berkata, pasangan juga perlu matang dan faham makna perkahwinan.

"Tidak salah pun berkahwin dengan lelaki muda, asalkan si lelaki matang dan tahu erti perkahwinan itu apa. Bukan kahwin nak seronok, sebab tengok orang lain kahwin, demi kepentingan peribadi atau sebab keluarga suruh.

"Apa yang penting, pemikiran lelaki perlu bijak dalam mengatur kehidupan keluarga iaitu menjalankan tanggungjawab sebagai seorang lelaki dan suami, menguruskan keluarga, isteri dan anak dan menjadi pelindung pada keluarga.

"Tidak semestinya lelaki muda tak boleh berkahwin. Ada juga lelaki berusia yang belum tentu matang pemikiran dalam hidup. Pokok pangkalnya bukan bergantung pada umur tetapi akal, pemikiran, sudah bersedia dan matang untuk memikul tugas berat," katanya kepada Harian Metro.

Rita yang juga ibu tunggal kepada dua anak lelaki membetulkan persepsi masyarakat yang sering mengatakan berkahwin dengan lelaki muda tidak akan bertahan lama.

"Semua orang silap apabila beranggapan berkahwin dengan orang muda mesti tidak bahagia. Kahwin dengan orang berduit juga mesti bercerai. Semua ini bergantung atas diri masing-masing.

"Orang yang berfikir sebegini memang tidak boleh berkahwin dengan orang muda dan tidak berduit kerana dari awal lagi sudah meletakkan kepercayaan sedemikian. Jangan fikir semua orang sama.

"Kebahagiaan ini datang dari pelbagai cara. Jika harmoni rumah tangga maka bahagia lah. Kalau nak keduanya, cari pasangan yang bijak dan matang berfikir dan sanggup menempuh ombak badai rumah tangga. Insya-Allah akan bahagia. Jadi, berkahwin dengan lelaki tua, muda, kaya atau tidak, memang takkan bermasalah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Julai 2018 @ 12:15 PM