MAFARIKHA berjaya kagumkan semua juri dan penonton.
MAFARIKHA berjaya kagumkan semua juri dan penonton.
ADEM yang berasal dari Republic Kyrgyz menjadi peserta Golden Buzzer juri Jay Park.
ADEM yang berasal dari Republic Kyrgyz menjadi peserta Golden Buzzer juri Jay Park.
Georgie Joseph


Sejak mula bersiaran pada 12 Oktober lalu, program pencarian bakat Asia’s Got Talent musim kedua (AGT2) meraih perhatian memberangsangkan. Ternyata, kali ini bakat yang muncul ketika uji bakat sangat mengagumkan.

Disiarkan setiap Khamis, jam 8.30 malam di saluran AXN (Astro 701), AGT2 yang menampilkan barisan juri David Foster, Anggun dan Jay Park, nampaknya mendapat perhatian daripada peserta dari pelbagai negara.

Penangannya cukup kuat dan diakui sebagai platform yang hebat untuk menunjukkan pelbagai jenis bakat.

Bahkan beberapa peserta menjadi perbualan selepas menunjukkan kehebatan masing-masing.

Antaranya ADEM yang meraih tontonan lebih 14 juta di Facebook dalam masa empat hari. ADEM adalah kumpulan penari berasal dari negara yang begitu jarang didengar iaitu Republic Kyrgyz. Keunikan itu juga membuatkan kumpulan dianggotai empat jejaka berkenaan senang diingati.

Jay Park akui sangat kagum dengan elemen yang disuntik dalam tarian ADEM selain persembahan mereka yang hebat.

“Saya banyak menyaksikan persembahan animasi tetapi cara ADEM menggabungkan semua elemen cukup ‘gila’. Ia sebuah persembahan yang luar biasa dan sangat bagus,” katanya.

Kru tarian berkenaan yang mendapat perhatian Jay Park hingga menekan Golden Buzzer, akan mara terus ke peringkat separuh akhir tanpa menunggu senarai pendek 20 peserta yang dipilih juri. Ini bermakna mereka tinggal selangkah lagi untuk memenangi hadiah utama RM423,000.

Jika musim lalu kumpulan pemuzik etnik Sada Borneo dari Malaysia mencuri tumpuan, tahun ini penyanyi Mafarikha berjaya membanggakan negara. Bekas peserta program Vokal Bukan Sekadar Rupa itu menyertai AGT2 demi misi untuk kembali menaikkan namanya.

Terdahulu, penyanyi berkenaan memutuskan untuk berhenti menyanyi selepas tidak mendapat ruang dalam industri. Kisahnya itu jelas menyentuh hati ramai termasuk juri.

Menyanyikan lagu popular Mariah Carey, Hero, dia turut mendapat penghormatan daripada juri dan penonton.

Dia juga mendapat pujian ramai netizen tempatan yang jelas terpukau dengan bakatnya.

Bukan sekadar didominasi peserta dari Asia Tenggara, ramai bakat dari negara lain termasuk Jepun tidak ketinggalan mencuba nasib. Seorang penghibur silap mata, Akira Kimura, 36, turut mencuri perhatian.

Mempersembahkan silap mata dengan cara tersendiri, Kimura berjaya membuatkan penonton ketawa pecah perut. Dia juga berhasil meyakinkan Anggun untuk menekan Golden Buzzer untuknya.

Selepas uji bakat, peserta yang mara akan kembali dengan persembahan di separuh akhir dan seterusnya bertanding merebut gelaran juara pada pentas akhir.

Asia’s Got Talent adalah adaptasi ke-67 program Got Talent yang cukup berprestij di seluruh dunia. Setakat ini 186 negara memiliki versi sendiri program berkenaan dan tidak pernah gagal mendapat sambutan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2017 @ 5:54 AM