Namron akan ke Lincoln, Amerika Syarikat. FOTO fail HM/Instagram
Namron akan ke Lincoln, Amerika Syarikat. FOTO fail HM/Instagram
Najiy Jefri


PELAKON dan pengarah, Namron menempa sejarah tersendiri apabila filem arahannya Crossroads: One Two Jaga tercalon dalam kategori Filem Cereka Terbaik Festival Filem Asia ke-17 di New York 2018 (NYAFF).

Turut tersenarai dalam kategori itu adalah enam karya hebat dari Asia iaitu Blood of Wolves (Japan), Liverleaf (Japan), The Looming Storm (China), Men on the Dragon (Hong Kong), Microhabitat (Korea Selatan) dan Respeto (Filipina).

Namron menerusi akaun Instagram meluahkan rasa syukur dan ingin membawa nama Malaysia ke persada dunia.

"Dari Shanghai ke New York perjalanan diteruskan membawa Malaysia ke persada dunia. Alhamdulillah," tulisnya.

Namron ketika ini memulakan aksi jelajah mempromosikan filem terbitan Pixel Play Entertainment dan Jazzy Pictures itu ke 21st Shanghai International Film Festival (SIFF) di China, berlangsung dari 16 hingga 25 Jun ini.

Crossroads: One Two Jaga mengangkat sisi gelap berkaitan rasuah, jenayah dan konflik kemanusiaan sejagat yang menghantui masyarakat.

Filem terbabit dibintangi oleh Zahiril Adzim, Rosdeen Suboh, Amerul Affendi, Iedil Putra, Chew Kin Wah serta bintang Indonesia, Ario Bayu dan Asmara Abigail.

NYAFF bakal berlangsung di Film Society of Lincoln

Acara penganjuran kali ke-17 itu adalah festival filem yang mendukung pembangunan seni dan budaya melalui jaringan sinema dunia dan menjadi platform tayangan dan apresiasi melalui karya kontemporari dan klasik dari negara Asia terpilih.

NYAFF bakal berlangsung di Film Society of Lincoln Center dan SVA Theatre bermula 29 Jun hingga 15 Julai depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 Jun 2018 @ 5:30 PM