SCHA menyerahkan sumbangan.
SCHA menyerahkan sumbangan.
Sudirman Mohd Tahir

Tanggal 30 Mei lalu genap 35 tahun usia pelakon popular, Scha Alyahya. Sesuatu yang bermakna juga apabila ulang tahun kelahirannya disambut pada Ramadan.

Menariknya, tahun ini Scha atau Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Alyahya berkongsi rezeki dengan menganjurkan majlis berbuka puasa bersama ibu tunggal dan penduduk Blok 12 Flat Bukit Angkasa Pantai Dalam.

“Alhamdulillah, ini tahun kedua saya menyambut ulang tahun dalam bulan mulia ini. Apabila suami bertanya macam mana nak sambut hari jadi kali ini, saya kata nak meraikan bersama saudara Islam lain.

“Jadi, suami bersama pembantu peribadinya pun merancang mengadakan majlis berbuka puasa dan seterusnya menghulurkan bantuan kepada ibu tunggal di kawasan kediaman berkenaan.

“Saya berterima kasih kepada semua penduduk terbabit atas kesudian menerima kehadiran saya bersama suami dan anak. Saya berharap, sumbangan diberikan sedikit sebanyak meringankan beban mereka,” katanya.

Kejutan buat pelakon Isteri Vs Tunang ini apabila Ahli Pahlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil turut hadir memeriahkan majlis yang diadakan di Surau Abdai’ah Blok 12.

Fahmi melapangkan masa pada acara memotong kek selepas selesai solat Tarawih.

“Saya terkejut apabila beliau hadir pada malam itu. Sebelum ini saya mendengar dan membaca kisah mengenainya. Tak sangka pula dia sudi hadir ke majlis saya.

“Saya hilang kata-kata seketika dan gementar juga dibuatnya. Beliau pula jenis yang ‘sporting’ dan mesra dengan semua orang.

“Hari jadi kali ini sangat istimewa kerana bukan sahaja dapat berjumpa Yang Berhormat Fahmi tetapi juga pelakon filem Thor, Christopher Hemsworth di Singapura, minggu lalu,” katanya.

Selain Scha bersama keluarga, turut hadir sahabat baiknya, Dynas Mokhtar bersama dua anak yang turut membuat sumbangan berupa duit raya kepada kanak-kanak yang hadir pada majlis itu.

Perkembangan lain, Scha terbabit dengan penggambaran filem Bikin Filem sepanjang Ramadan ini. Menerusi karya ini, Scha bergandingan dengan Erra Fazira, Sharifah Sakinah, Azhan Rani, Amerul Affendi dan ramai lagi.

Menurut Scha, atas inisiatif sendiri dia memotong rambut paras bahu semata-mata mahu menjayakan watak gadis berusia 20 tahun.

Selain itu, Scha juga rancak mempromosikan koleksi baju raya Scha Alyahya X Jakel dan SchAwal Ready To Wear.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Jun 2018 @ 3:17 AM