KALI (kiri) ketika pelancaran Pesta Filem Hungary, baru-baru ini.
KALI (kiri) ketika pelancaran Pesta Filem Hungary, baru-baru ini.
Michelle Gun

Buat julung kalinya Kedutaan Hungary menganjurkan pesta filem dengan memperkenalkan empat karya yang mengetengahkan sejarah kegemilangan bola sepak negara itu kepada penonton Malaysia.

Istimewanya, tayangan semua filem berkenaan adalah percuma dan boleh disaksikan di pawagam Golden Screen Cinemas (GSC) Pavilion KL pada 7 hingga 10 Jun ini.

Penganjuran Pesta Filem Hungary 2018 sempena ulang tahun ke-65 pasukan bola sepak negara itu menewaskan England 6-3.

Pada 1953, Hungary menjadi pasukan pertama menewaskan England dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Wembley, London. Selain meraikan kemenangan bersejarah itu, pesta filem berkenaan juga bersempena Piala Dunia FIFA 2018 yang bakal berlangsung di Russia mulai 14 Jun ini.

Duta Hungary, Attila Kali berkata, acara itu bagi memperkenalkan sejarah bola sepak negara berkenaan kepada penonton.

“Hungary mempunyai rekod sejarah sukan menarik dan salah satu daripadanya adalah bola sepak. Memandangkan Piala Dunia FIFA bakal berlangsung tidak lama lagi, pasti ramai peminat bola sepak tidak sabar menanti perlawanan besar itu.

“Sebelum pertandingan FIFA bermula, peminat boleh mengenali bola sepak Hungary terlebih dulu,” katanya.

Bagi menghangatkan lagi Pesta Filem Hungary 2018, Kali berkata, pemain Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri yang memenangi Anugerah Puskas FIFA 2016 akan membuat penampilan khas pada majlis pelancaran acara itu di GSC Pavilion KL, Rabu ini.

“Pihak kami berharap filem ini dapat memberi inspirasi kepada belia di Malaysia untuk bersukan,” katanya.

Dua karya yang diperkenalkan iaitu Puskas Hungary dan Next Barca’s Untold Legends adalah dokumentari yang menceritakan mengenai kehebatan pemain terbaik negara itu.

Puskas Hungary mengisahkan legenda bola sepak Ferenc Puskas bermula kehidupannya di kawasan setinggan di Budapest sehingga bergelar pemain profesional antarabangsa.

Pelbagai cabaran hampir meragut impiannya tetapi Puskas terus berjuang dan muncul penyerang prolifik bersama pasukan Real Madrid pada usia 30-an. Next, Barca’s Untold Legends pula mengenai Laszlo Kubala, pemain hebat FC Barcelona pada era 1950-an yang berasal dari Hungary.

Penonton yang menggemari cerita ringan boleh menyaksikan filem Brazils dan 6:3 A.K.A Past Plays Itself yang sarat dengan komedi.

Brazils menceritakan pasukan kecil yang terdiri daripada pemain gipsi berpeluang beraksi dalam kejohanan bola sepak tempatan. Ia penuh dengan emosi, jenaka serta kemarahan yang tidak terjangka.

6:3 A.K.A Past Plays Itself pula mengenai seorang lelaki yang menggamatkan suasana perlawanan bola sepak pada 25 November 1953 dengan ramalan jaringan golnya sebelum perlawanan pasukan England menentang Hungary bermula.

Bagi mendapatkan tiket percuma menyaksikan Pesta Filem Hungary 2018, pembaca perlu menunjukkan artikel ini di kaunter GSC Pavilion KL.

Maklumat lanjut mengenai Pesta Filem Hungary 2018 boleh diperoleh dengan melayari www.gsc.com.my

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Jun 2018 @ 4:47 AM