DARI kanan Syafiq, Sasqia dan Izzue tampil menghangatkan gerai tonton dan Singtel.
DARI kanan Syafiq, Sasqia dan Izzue tampil menghangatkan gerai tonton dan Singtel.
Georgie Joseph

Menjadi antara bazar yang ditunggu-tunggu sempena Ramadan di Singapura, Celebfest 2018 berlangsung meriah dengan kehadiran Syafiq Kyle, Izzue Islam, Sasqia Dahuri dan Erma Fatima.

Berlangsung baru-baru ini di Suntec Convention & Exhibition Centre, Suntec City, kemunculan empat artis popular itu ternyata menjadi daya penarik utama acara berkenaan. Mereka dibawa khas portal penstriman tonton bersama Singtel.

Peminat di negara jiran itu tidak melepaskan peluang mendekati artis idola mereka. Selain beramah mesra mereka tidak ketinggalan merakam gambar sebagai kenangan.

Syafiq mengakui teruja dengan sambutan hebat peminat di Kota Singa selain gembira menjadi sebahagian daripada promosi tonton dan Singtel.

“Selain menjual jubah dah kurta, saya turut membuat kemunculan di gerai tonton dan Singtel. Kami diminta mempromosikan cara penduduk Singapura boleh melanggan dan menonton program tonton dengan mudah.

“Sambutannya tidak payah cakaplah, memang luar biasa dan sangat terharu apabila peminat tidak putus-putus mahu bergambar. Begitu juga dengan penjualan produk saya yang sangat laku dan mendapat sambutan hebat,” katanya.

Sebelum membuat penampilan di gerai tonton dan Singtel, semua artis berkenaan terlebih dahulu muncul di pentas bersama dua pengacara tempatan iaitu Dyn Norahim dan Nurul Aini.

Sebaik saja muncul, jeritan dan sorakan peminat bergema menandakan betapa mereka teruja melihat artis kesayangan. Masing-masing tidak mahu berganjak dari tempat duduk dan mengambil gambar.

Suasana menjadi lebih riuh apabila setiap artis sempat melakukan aktiviti menarik di pentas bersama peminat bertuah. Rata-rata peminat ‘sporting’ dan tidak segan beraksi di pentas.

Keletah pengacara dan barisan artis membuatkan pengunjung tidak kering gusi. Cukup bersahaja dan selamba sekali gus membuatkan suasana ketika itu gawat dengan gelak tawa.

Sebaik sesi di pentas tamat, Syafiq, Izzue dan Sasqia tidak melepaskan peluang bertemu peminat di gerai tonton dan Single.

Sebagai syarat membolehkan peminat bergambar bersama, mereka perlu mendaftar sebagai pelanggan aplikasi Cast.

Aplikasi itu menyediakan kandungan program daripada tonton untuk tontonan peminat di negara itu.

Pengarah Tonton, Perlesenan dan Pembarangan Rangkaian Televisyen Media Prima Airin Zainul berkata ia adalah usaha untuk memperkasakan portal penstriman itu selain mempromosikan kandungan hiburan tempatan di sana.

“Penyertaan ini adalah sebagai usaha mempromosikan kandungan hiburan tempatan ke luar negara. Ia juga membuka peluang kepada peminat untuk beramah mesra dan mendekati selebriti kesayangan mereka.

“Melihat sambutan positif terhadap kerjasama tonton dan Singtel tahun lalu, kami yakin lebih banyak peluang bakal dijalinkan pada masa hadapan.

“Kami percaya dengan kerjasama yang strategik, tonton akan terus mengekalkan reputasi sebagai perkhidmatan penstriman terbaik bukan saja di Malaysia malah di seluruh rantau ini,” katanya.

Menerusi kerjasama tonton dan Singtel, peminat di Singapura sudah boleh menikmati drama dan program hiburan Malaysia dengan memuat turun aplikasi pengstriman video Singtel, Cast.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mei 2018 @ 8:49 AM