MENGUNJUNGI bazar Ramadan jadi rutin Nazrief.
MENGUNJUNGI bazar Ramadan jadi rutin Nazrief.
Sudirman Mohd Tahir


Setiap kali Ramadan, pelakon Nazrief Nazri, 25, mengakui tidak pernah ketinggalan mengunjungi bazar Ramadan.

Nazrief atau nama sebenarnya Mohamad Nazrief Mohamad Nazri menjadikan perkara itu sebagai rutin jika tidak terbabit dengan penggambaran drama.

Justeru itu, pelakon drama Demi Cinta Ain ini mengakui sebelum ini sering melakukan pembaziran.

“Sebelum ini, setiap kali ke bazar saya akan beli ikut nafsu. Apa yang nampak sedap, saya beli. Walaupun tahu tak habis makan seorang diri, saya tetap beli. Boleh dikatakan setiap hari berlaku pembaziran.

“Betul kata orang, berkunjung ke bazar Ramadan pasti menguji diri. Ramai tak dapat mengawal diri membeli lebih daripada sepatutnya. Apabila difikirkan semula, rasa rugi sebab kalau tak habis makan saya akan buang,” katanya.

Justeru, bermula tahun ini timbul kesedaran dalam diri Nazrief untuk tidak lagi melakukan pembaziran ketika membeli juadah berbuka puasa.

“Apabila ke bazar, saya tetapkan niat untuk tidak berbelanja lebih. Saya beli apa yang nak dimakan saja. Biasanya, saya beli satu juadah berat dan tiga jenis kuih. Bagi saya, ia sudah mencukupi.

“Alhamdulillah, sekarang sudah tidak membazir lagi, malah semuanya habis dimakan. Perbelanjaan juga berkurang apabila tidak melebihi RM20 berbanding sebelumnya mencecah RM50,” katanya yang menggemari kambing golek, ayam golek, tepung pelita dan buah melaka.

Bersenam di gimnasium

Selepas seminggu berpuasa, Nazrief mengakui belum sempat meluangkan masa bersama kedua-dua ibu bapanya.

“Sejak hari pertama puasa sehingga sekarang, saya sibuk dengan penggambaran drama iKids untuk Astro Ceria. Selesai drama ini, saya menjayakan telefilem dan selepas 27 Jun barulah boleh berehat.

“Perkara ini bukan baru bagi saya kerana tahun lalu saya juga sibuk menjalani penggambaran. Selagi ada tawaran, saya tak menolak. Ini adalah rezeki,” katanya.

Sambung Nazrief, dia bertuah apabila kedua-dua orang tua memahami kesibukannya.

Pun begitu, Nazrief tetap meluangkan masa bersenam di gimnasium selepas menunaikan solat tarawih bagi mengekalkan bentuk tubuh menarik.

“Berpuasa tidak menghalang saya ke gimnasium. Apabila seharian perut kosong, ia akan mempercepatkan lagi proses pembakaran lemak. Dalam masa sama, saya mahu mengekalkan berat badan iaitu 75 kilogram,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Jun 2016 @ 12:15 PM