SHUK tetap berusaha memberikan persembahan terbaik biarpun demam.
SHUK tetap berusaha memberikan persembahan terbaik biarpun demam.
SAIFUL dan Fasha Sandha selaku juri.
SAIFUL dan Fasha Sandha selaku juri.
KHIR tampil membantu persembahan Mark.
KHIR tampil membantu persembahan Mark.
MARK kongsi hadiah kemenangan dengan Shuk, Achey, Ajak dan Issey.
MARK kongsi hadiah kemenangan dengan Shuk, Achey, Ajak dan Issey.
Ridzuan Abdul Rahman


Kalau tuah ayam dilihat di kaki, tuah manusia tiada siapa dapat meramalnya. Ini cerita indah dilalui Mark Adam apabila diangkat sebagai juara Super Bintang Bersama Bintang 2018 (SBBB 18), sekali gus meraih hadiah wang tunai RM100,000.

Awalnya, Mark dilihat agak naif dan tenggelam berbanding empat bintang pentas akhir lain iaitu Shuk, Achey, Ajak dan Issey yang masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri.

Bagaimanapun, sudah rezeki penyanyi berasal dari Filipina itu apabila menampilkan skesta menarik sehingga berjaya memikat juri profesional dan penonton di rumah pada pentas akhir yang berlangsung di Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, kelmarin.

Paling mengejutkan, Mark, 39, yang memilih Khir Rahman sebagai gandingannya turut berkongsi hadiah kemenangannya dengan membahagikan RM60,000 kepada empat bintang lain.

Bermakna Achey, Ajak, Shuk dan Issey akan menerima durian runtuh berjumlah RM15,000 setiap seorang.

“Perkara ini pernah dibincangkan dengan Issey, Achey, Shuk dan Ajak, tetapi bukanlah secara rasmi dan hanya cakap kosong.

“Saya sangat gembira dengan kemenangan ini. Ia pilihan saya dan diharapkan rakan boleh memanfaatkannya dengan bersedekah kepada anak yatim atau mereka yang memerlukan,” katanya.

Mark mengakui sebelum pengumuman pemenang dibuat, dia sudah berniat untuk melaksanakan perkara itu kerana menghargai semua bintang lain yang memberikan kerjasama baik sepanjang mereka bersaing.

“Saya banyak belajar dengan mereka yang sentiasa sudi memberikan tunjuk ajar malah di belakang tabir kami ibarat satu keluarga,” katanya.

Mengulas mengenai sketsa yang ditampilkan, Mark mengakui amat berpuas hati dan berterima kasih kepada Khir yang banyak membantu memantapkan persembahannya.

“Idea ini memang daripada saya sendiri. Abang Khir pula pandai dalam teater dan dia nak saya menonjolkan diri serta bergerak yakin supaya lebih menonjol di atas pentas.

“Saya sendiri terkejut apabila nama besar sepertinya sanggup bantu saya. Dia datang ke sekolah vokal saya dan kami hanya sempat buat latihan selama dua hari,” katanya yang pernah muncul juara minggu ketiga dengan bantuan Wan Sharmila.

Bercerita berkenaan wang kemenangannya, Mark yang popular dengan lagu Pencuri mengakui akan mengagihkannya dengan ibunya di Filipina serta ibu mentuanya di Malaysia.

“Saya sangat menghormati emak saya. Setiap minggu dia ‘ada’ bersama saya kecuali pada minggu pertama.

“Tujuan saya ialah nak beritahu, semua orang ada emak dan kita kena hargai mereka. Emak saya jauh di Filipina dan dia tak menonton program ini pun.

“Rakaman percakapannya dalam bahasa Melayu ambil masa amat lama untuk disiapkan. Bagaimanapun, saya nak semangatnya sentiasa ada bersama saya setiap masa,” katanya yang akan mengadakan kenduri kesyukuran bagi meraikan penyokongnya.

Sementara itu, Saiful Apek selaku juri tetap mengakui setiap bintang sukar mengekalkan momentum mereka kerana ada yang perlu menukar sketsa pada saat akhir.

“Mark antara peserta yang berbeza kerana dia kena faham sketsa dan budaya kita. Memang saya nampak dia sangat naif dalam persembahan.

“Kalau orang Melayu cakap betul bendul dan itu bagi saya ‘signature’ dia. Tapi persembahan pada pentas akhir sangat bagus dengan bantuan Khir Rahman.

“Biasa kalau dia buat persembahan taraf C, sampai habis pun sama saja. Malam ini agak berbeza kerana ada G, L dan macam-macam lagi,” katanya.

Saiful berkata, semua peserta mempunyai keistimewaan tersendiri sehingga sukar untuknya membuat pemilihan.

“Sebagai jalan keluar, saya menilai persembahan mereka setiap minggu. Keputusan saya sebagai juri akan dicampurkan dengan undian penonton untuk memilih pemenang.

“Untuk pentas akhir, saya meletakkan tiga yang teratas ialah Mark, Shuk dan Achey,” katanya.

Penerbit Eksekutif SPBBB 18, Muhamad Suffian Isa turut bersetuju dengan Saiful Apek apabila turut meletakkan Mark, Shuk dan Achey di senarai teratas persaingan.

“Ini bukan satu pertandingan, tetapi lebih kepada program kekeluargaan. Di belakang tabir, semua bintang berbincang untuk keluarkan idea masing-masing.

“Jadi tidak menghairankan apabila Mark bercadang untuk kongsi wang kemenangannya dengan bintang lain,” katanya.

Ditanya berkenaan isu tudung dan kelab malam yang menjadi bahan intipati sketsa peserta, Suffian mengakui ia dibenarkan kerana isu itu tular di media sosial serta menjadi bahan perbualan masyarakat.

“Ia bukan benda baru dan tidak menjadi masalah asalkan kami tak menyinggung perasaan mana-mana pihak secara langsung,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Mac 2018 @ 6:36 AM