Johan kongsi minat membaca Al-Quran di Instagram. FOTO Ehsan Johan As’ari.
Johan kongsi minat membaca Al-Quran di Instagram. FOTO Ehsan Johan As’ari.
Sudirman Mohd Tahir


SERING berkongsi membaca Al-Quran di laman sosial membuatkan ramai rakan artis meminta pelakon Johan As’ari, 31, mengajar mereka mengaji.

Bagaimanapun Johan atau Johan Ariff As’ari, 31, akui segan menerima pelawaan itu kerana berasakan belum cukup ilmu mengajar orang lain.

“Sejujurnya saya segan kerana masih banyak kelemahan dalam bacaan. Kalau hendak mengajar sekali pun, saya perlu baiki dahulu. “Banyak lagi saya perlu belajar daripada ustaz dan qari untuk menambah ilmu pengetahuan dalam Al-Quran.

“Selepas itu Insya Allah. Bagi saya ilmu yang bermanfaat memang harus dikongsi bersama,” katanya kepada Harian Metro.

Johan berkata, perkongsiannya membaca Al-Quran di laman Instagram sebagai satu latihan untuk mengetahui kelemahan dalam pembacaan.

Ia sekali gus menepis tanggapan segelintir pihak yang mengatakan dia mahu menunjuk.

“Ini cara saya mencari kedamaian. Dengan mengaji Al-Quran, saya mendapat ketenangan hakiki.

“Saya sedang belajar dan pasti ada kelemahan dalam bacaan,” katanya.

Katanya, dia sentiasa berlatih mengaji supaya bacaan sempurna dan berkongsi di Instagram bersama semua.

“Bayangkan jika sebahagian besar rakyat Malaysia pada 2050 kelak hafiz Al-Quran, Masha Allah kita semua untung.

“Saya juga mahu berguru dengan Datuk Ustaz Kazem Elyas tahun hadapan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2017 @ 1:23 PM