ALAM.
ALAM.
Amirul Haswendy Ashari

Ketika era lagu hip hop dan BBoys menjadi kegilaan remaja lebih lima tahun lalu, golongan penari turut mendapat impak besar.

Antara yang menjadi sebutan adalah Wakaka Crew, sekumpulan remaja yang memenangi pertandingan realiti tarian pertama anjuran TV3, Showdown pada 2010.

Turut menganggotai kumpulan itu ialah Alam atau nama sebenarnya Haslam Abdul Rahman, 31, juga juara program realiti tarian, So You Think You Can Dance musim pertama pada 2009.

Pernah membintangi filem Sayang You Can Dance dan drama realiti Alam’s Story tujuh tahun lalu, Alam antara selebriti unik yang membina nama bukan melalui lakonan atau nyanyian seperti kebanyakan selebriti lain.

Namun begitu, selepas muncul dalam Fear Factor Celebrity Malaysia pada 2015, penari itu mulai sunyi tanpa pendedahan media seolah-olah kelibatnya tidak diperlukan lagi.

Hang Pi Mana? kembali menjejaki penari bertubuh kecil itu yang pada masa ini sibuk mengurus studio tariannya, Alamak Dance Studio di Petaling Jaya.

“Rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari. Kurang tawaran juga mungkin punca yang sebenar. Akan tetapi, saya sentiasa aktif. Setiap hari menari dan membuat koreografi. Sehingga tiada masa untuk berehat atau tidur.

“Sejak Julai lalu sehingga kini, saya ditugaskan pihak stesen RTM dan Astro menjadi koreografer program TV seperti Temasya Sukan Kelaut Astro, Meletop 5 tahun (Astro) Konsert 83000 Batu Pahat, Konsert Muzika Extravaganza Singapura, Konsert Saya Anak Malaysia Sabah dan banyak lagi,” katanya.

Dia juga terbabit membuat persembahan di luar negara seperti di Indonesia, Australia, Jerman dan Singapura.

Katanya, andai disenaraikan satu persatu aktiviti yang dilakukan memang terlalu banyak. Namun begitu, dia bersyukur jadual penuh sehingga ada kala tidak sempat pulang ke kampung halaman sendiri.

“Ada sebab kenapa saya membuatkan diri sibuk. Sebenarnya, selepas tujuh tahun bercinta saya berpisah dengan bekas teman wanita.

“Semuanya gara-gara seseorang yang saya kenali menjalin hubungan rapat dengan bekas teman wanita ketika saya sibuk dengan urusan dan tanggungjawab membina masa hadapan.

“Sebelum ini, dia banyak membantu dari segi pengurusan tarian dan masa tetapi ketiadaannya membuatkan saya perlu mengambil alih semua kerja,” katanya.

Nafi merajuk dengan industri seni

Menolak tanggapan merajuk dari industri, Alam bersyukur kerana Allah sentiasa mencurahkan rezeki melimpah padanya ketika ini.

Katanya, hanya dia sendiri perlu mencari dan menggunakan rezeki dikurniakan itu.

Alam akui peluang sentiasa terbuka luas oleh stesen TV terutama daripada Astro dan RTM serta syarikat luar yang mempercayai kredibilitinya sebagai penari profesional.

Tanpa berselindung, dia sedih dengan situasi melanda beberapa rakan pelakon dan penyanyi tidak mendapat sebarang tawaran selama beberapa bulan.

Walaupun sering diketengahkan di media, pendapatan dan tawaran diterima tidak seindah khabar.

Biarpun agak pelik dengan situasi itu, Alam berpendapat peluang pekerjaan dalam bidang hiburan bukan hanya pada populariti seseorang tetapi usaha untuk kekalkan momentum supaya perjalanan kerjaya tidak mati di telan masa.

“Saya dapat berasakan orang seperti saya kurang mendapat pendedahan daripada media massa mungkin kerana hanya dilabelkan sebagai ‘penari jalanan’ tetapi penari inilah yang sentiasa bekerja untuk tidak dikutuk serta tidak dijadikan sebagai bahan penambah perisa saja di pentas.

“Saya sebenarnya sedih dengan harga yang dikenakan segelintir penganjur. Kadangkala tidak masuk akal. Kami juga membayar bil, petrol, tol, makan dan minum, semua perbelanjaan harian yang semakin tinggi. Jadi tak mungkin kami boleh hidup dengan bayaran yang rendah.

“Tarian adalah sumber pendapatan kami sama seperti cef atau tukang rumah. Cef tidak akan sewenangnya menyediakan masakan yang enak jika kita datang ke restoran dan tidak membayarnya, tukang rumah tidak akan sewenangnya memanjat tangga dan menampal atap yang bocor jika dia melawat kediaman orang tanpa bayaran,” katanya.

Jauh di sudut hati, kata Alam, dia tetap merindui saat kegemilangannya hampir sedekad lalu.

Menurutnya, dia tidak menyalahkan sesiapa dalam hal sedemikian.

“Zaman ini pelawak lebih terkenal daripada penyanyi atau pelakon. Tapi yang paling penting, dia tidak perlu menggosok bahu orang atasan hanya untuk mendapatkan kerja.

“Saya akan berpuas hati jika mereka semua berpuas hati dengan apa yang saya sertai iaitu Alamak Dance Trooperz dan Wakaka Crew,” katanya .

Ditanya mengenai rakan lain dalam Wakaka Crew, Alam akui mereka masih aktif dalam persembahan dan pertandingan tarian di dalam dan luar Malaysia seperti Thailand, Jerman, AS, Indonesia serta banyak lagi.

Mereka juga mencari bakat muda sebagai orang yang akan meneruskan perjuangan sebagai penari BBoy.

Pada masa ini, Wakaka Crew juga mempunyai studio sendiri di Sri Kembangan. Pada masa sama, beberapa ahli lain turut membuka bisnes sambilan untuk menambah pendapatan harian seperti kedai gunting rambut dan menjual barangan ‘street wear’.

Perkembangan lain, Alam juga menjadi pengacara program RTM berjudul Ekspirasi Kembara.

Pada masa sama, mereka juga terbabit dengan beberapa persembahan seperti ‘flashmob’ pada masa terdekat. Alam juga sibuk mengurus syarikat sendiri, Alamak Entertainment yang menyediakan khidmat dorn, tarian LED, Flashmob, tarian moden dan Fusion (gabungan tarian tradisional dan moden).

Di bawah Alamak Entertainment terdapat lebih 100 senarai penari di Malaysia serta luar negara. Segala perkembangan terbaru boleh diikuti di instagram Alam sendiri @Alamwakaka dan juga @Alamakdancestudio.

“Saya ucapkan jutaan terima kasih pada semua klien, Astro dan RTM serta yang lain kerana sentiasa memberikan sokongan padu dan mempercayai kualiti persembahan kami.

“Tanpa mereka semua, Alam Wakaka tidak mungkin berada pada tahap sekarang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 November 2017 @ 4:58 AM