RODY dan Niena di majlis pertunangan mereka di Kulai, Johor, semalam. FOTO Ihsan Rody.
RODY dan Niena di majlis pertunangan mereka di Kulai, Johor, semalam. FOTO Ihsan Rody.
Sudirman Mohd Tahir


PEMAIN gitar kumpulan Kristal, Rody, 31, bakal menamatkan zaman bujangnya dengan penjaga gol skuad futsal wanita kebangsaan, Nur Izwani Azman, 30, pada April tahun depan.

Pasangan ini selamat melangsungkan majlis pertunangan di kediaman Nur Izwani atau Niena di Kulai, Johor, semalam.

Rody atau nama sebenarnya Mohd Rodi Baharudin berkata, dia sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai suami.

"Alhamdulillah, majlis yang dirancang berjalan lancar. Keputusan untuk bertunang sudah dirancang lama. Lagipun tidak manis jika berkawan terlalu lama, malah tempoh pertunangan juga selama enam bulan saja.

“Memandangkan usia kami sudah mencecah 30-an, jadi kami sudah bersedia untuk melangkah ke alam perkahwinan. Keluarga juga menasihati supaya segera kahwin," katanya kepada Harian Metro.

Bercerita mengenai perkenalannya dengan Niena, Rody berkata, hubungan mereka bermula di Instagram sejak, April lalu.

"Saya kenal Niena sebulan selepas pulang dari mengerjakan ibadah umrah pada Mac lalu. Pada mulanya saya 'follow' dia di Instagram. Sejam selepas itu, dia pula 'follow' saya.

"Sejak itu kami mulai berhubung menerusi 'direct message' di Instagram. Selama tiga minggu kami saling berbalas mesej sebelum mengambil keputusan untuk berjumpa.

"Selepas saling mengenali, saya berasakan antara kami ada keserasian. Walaupun kami tidak mengisytijarkan bercinta, tetapi perasaan sayang dan cinta wujud secara semula jadi," katanya.

Ditanya mengenai keistimewaan dimiliki Niena sehingga membuatkan dia jatuh jati, Rody berkata, Niena seorang yang pandai menjaga dan mengambil hatinya dan keluarga.

"Selain ketinggiannya, Niena seorang yang mudah mesra dan 'happy go lucky'. Kali pertama membawanya berjumpa keluarga saya, dia mudah mesra.

"Dia juga pandai menjaga saya terutama sentiasa mengingatkan soal pemakanan dan kesihatan. Dia juga selalu menggalakkan saya untuk bersenam bersama,” katanya.

Terdahulu, kisah mereka menjadi tular apabila Rody melamar Niena di Instagram pada September lalu.

Menurut Rody, perkara itu lahir secara spontan tanpa dirancang kerana ingin memberi kejutan kepada kekasihnya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 November 2017 @ 2:00 PM