Filem arahan Syafiq dibintangi ramai pelakon handalan dapat sambutan baik di pawagam. FOTO NURUL SHAFINA JEMENON
Filem arahan Syafiq dibintangi ramai pelakon handalan dapat sambutan baik di pawagam. FOTO NURUL SHAFINA JEMENON
Sudirman Mohd Tahir


WALAUPUN rakaman penuh filem Abang Long Fadil 2 dimuat naik individu tidak bertanggungjawab di YouTube Sabtu lalu, filem arahan Syafiq Yusof itu tetap menjadi pilihan apabila mampu meraih kutipan RM5 juta dalam tempoh lima hari tayangan.

Naib Presiden & Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar berkata, pihaknya berharap kutipan filem itu terus meningkat pada hujung minggu ini walaupun terdapat dua cuti umum iaitu Hari Kemerdekaan dan Aidiladha.

"Dari awal lagi kami tidak meletakkan sebarang sasaran berdasarkan kutipan teruk daripada beberapa filem tempatan. Kami bimbang jika filem ini turut menerima nasib sama.

"Jadi apabila mendapat sambutan, ia memang di luar jangkaan kami. Saya menyifatkan ia satu kejayaan buat semua pihak yang bekerja keras mempromosikan filem ini.

“Jika ditanya berapa jangkaan kutipan minggu ini, sejujurnya kami tidak terfikir. Cuma saya dan penerbit Datuk Yusof Haslam berharap rakyat Malaysia pergi menonton filem ini," katanya kepada Harian Metro.

Menariknya, filem yang mula ditayangkan pada 24 Ogos itu berjaya mengatasi populariti filem hebat Hollywood seperti Annabelle : Creation dan filem Kollywood, Vivegam.

"Walaupun terdapat dua filem asing yang ditayangkan pada waktu sama, tetapi kami bernasib baik kerana Abang Long Fadil 2 masih menjadi pilihan ramai.

"Bagi saya itu satu penghargaan buat kami kerana mendapat sokongan peminat filem tempatan, katanya.

Dalam masa sama, Najwa berterima kasih kepada Yusof kerana pantas memaklumkan kepada pihaknya mengenai rakaman penuh filem itu sebelum dilaporkan kepada YouTube.

Rentetan insiden itu, Najwa dan seluruh pasukan menjalankan pemantauan rapi di semua laman sosial bagi memastikan perkara ini tidak berulang.

Abang Long Fadil 2 dibintangi Zizan Razak, Datuk AC Mizal, Syamsul Yusof, Wak Doyok, Achey, Tania Hudson, A Galak dan Shuib.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2017 @ 6:53 PM