Zakiah Halim pada sidang media Anugerah Planet Muzik (APM) 2017. FOTO ZUNNUR AL SHAFIQ
Zakiah Halim pada sidang media Anugerah Planet Muzik (APM) 2017. FOTO ZUNNUR AL SHAFIQ
Rudy Imran Shamsudin


PENGANJUR Anugerah Planet Muzik 2017 (APM 2017) memohon maaf kepada Datuk Siti Nurhaliza apabila nama penyanyi tersohor itu terpaksa digugurkan daripada pencalonan kategori Artis Terbaik (Wanita) berikutan kesilapan teknikal.

Perkara itu disedari Mediacorp sewaktu majlis sidang media pengumuman senarai pencalonan APM 2017 di Singapura, kelmarin.

Permohonan maaf dibuat secara rasmi oleh wakil Mediacorp apabila sidang akhbar sama dilakukan di Hard Rock Cafe, di sini, semalam.

Ketua Penyiaran Melayu Mediacorp, Zakiah Halim berkata, ahli jawatankuasa penganjuran APM 2017 menyedari kesilapan itu apabila Siti Nurhaliza dicalonkan sekali lagi dalam kategori Artis Terbaik (Wanita) menerusi single dimuatkan dalam albumnya sebelum ini, Menatap Dalam Mimpi.

“Nama Siti sudah dicalonkan dalam kategori sama menerusi lagu Menatap Dalam Mimpi pada penganjuran APM tahun lalu,” katanya.

Pada masa sama, Zakiah merakamkan ucapan terima kasih di atas kejujuran pengurusan Siti Nurhaliza menyedarkan pengajur mengenai perkara itu.

Berikutan pengguguran itu, buat julung kalinya hanya empat nama disenaraikan dalam kategori Artis Terbaik (Wanita).

Barisan juri sepakat memilih penyanyi Dayang Nurfaizah dari Malaysia, Isyana Sarasvati dan Raisa (Indonesia) dan Aishah Aziz (Singapura).

“Kami memilih untuk mengekalkan empat calon kerana senarai nama asal sudah pun diketahui umum sebaik sahaja sidang media pertama dilakukan di Singapura.

“Kelima-lima penyanyi ini termasuk Siti memperolehi markah tertinggi.

“Sekiranya kami menyenaraikan nama di tempat ke enam mengisi kekosongan yang ada, ia tidak adil dan sudah tentu penyanyi itu dan peminatnya tahu kemenangan tidak akan berpihak kepada mereka,” katanya.

Tahun ini APM 2017 bakal berlangsung pada 14 Oktober di MES Theatre, Mediacorp, Singapura.

Bagi mempromosikan acara itu, konsert khas yang menggabungkan penyanyi dari Malaysia, Singapura dan Indonesia akan diadakan pada 29 September hingga 1 Oktober. Konsert itu juga bersempena 2017 Formula 1 Petronas Malaysia Grand.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2017 @ 8:35 PM