PASANGAN jadi usahawan pertama Negeri Sembilan usaha ikan air tawar sejuk beku. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
PASANGAN jadi usahawan pertama Negeri Sembilan usaha ikan air tawar sejuk beku. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap

Jempol: Selepas lapan tahun mengusahakan tanaman sayur-sayuran, pasangan suami isteri di Kampung Bayar baru di sini, tekad untuk beralih angin apabila memulakan ternakan ikan air tawar secara komersial.

Mohd Amin Joni dan isteri, Raidah Ahmad turut menjadi usahawan pertama di Negeri Sembilan yang mengusahakan ikan air tawar sejuk beku.

Menurutnya, semuanya bermula selepas mereka tidak lagi berminat untuk meneruskan projek tanaman sayur-sayuran yang diusahakan selepas berdepan pelbagai masalah termasuk makhluk perosak.

Katanya projek tanaman sayur-sayuran dimulakan sejak 2003 terpaksa dihentikan selepas tidak mampu lagi menanggung kerugian terutama apabila menjadi sasaran serangga perosak.

"Mujur ketika itu saya sudah mula menternak ikan air tawar apabila mendapat tunjuk ajar daripada arwah abang ipar yang pernah menerima anugerah Penternak Jaya Kebangsaan pada 2003.

"Saya ambil masa sekitar setahun untuk belajar daripada arwah mengenai ikan air tawar dan mula mengusahakan ternakan ikan air tawar secara serius bermula tahun 2010," katanya ketika ditemui.

Menurutnya, usaha menghasilkan ikan air tawar sejuk beku dijalankan bermula 2017 selepas mendapat permintaan daripada orang ramai yang mahu mendapatkan ikan darat itu lebih mudah.

Katanya, antara ikan air tawar sejuk beku yang dijualnya adalah tilapia, keli, lampam, dan patin dengan kesemua ikan dibersihkan menggunakan limau kasturi yang ditanam sendiri.

"Ikan sejuk beku ini dijual di pasar tani di sekitar Jempol selain ada yang datang ke rumah untuk membelinya.

"Kami mampu menjual sehingga 60 kilogram ikan sejuk beku ini setiap kali berniaga di pasar tani," katanya.

Sementara itu Raidah berkata, bagi meningkatkan kemahiran, mereka sudah menyertai 80 kursus anjuran pelbagai agensi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2024 @ 9:06 AM