SAKINAH bersama aiskrim Warna Pops.
SAKINAH bersama aiskrim Warna Pops.
Hajar Umira Md Zaki


Kuala Lumpur: Bermodalkan hanya RM90, kini Warna Pops Ventures mampu menjana keuntungan sehingga mencecah RM30,000 setiap bulan dengan penjualan aiskrim jenis popsicle berperisa buah-buahan.

Pengasasnya, Sakinah Khairuddin berkata, dia menyediakan lima jenis aiskrim berperisa dan istimewanya Warna Pops, satu perisa unik akan diperkenalkan setiap bulan.

"Di Warna Pops, antara perisa yang sering menjadi pilihan ramai adalah blueberry cheesecake, chocolate fudge dan tembikai.

"Untuk bulan Mei lalu, kami mengeluarkan perisa pandanlicious iaitu aiskrim pandan gula Melaka bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri," katanya.

Menurutnya, pelanggan yang ingin menikmati aiskrim yang dihasilkan boleh didapati secara pakej dengan harga RM38.90 untuk 10 batang dan RM105.90 untuk 30 batang.

Bagi mendapatkan aiskrim Warna Pops tanpa menggunakan harga pakej, pelanggan boleh mendapatkannya di 15 stesen minyak Shell di sekitar Kuala Lumpur, Pahang dan Perak.

"Selain itu, kami menjalankan perniagaan 100 peratus secara atas talian dan juga mempunyai 60 ejen berdaftar di seluruh Malaysia," katanya.

Menceritakan perjalanan awal Warna Pops, Sakinah mula membuka gerai di acara yang diadakan di Kuala Lumpur dan sebanyak 300 aiskrim mereka terjual dalam tempoh satu jam.

Katanya, pada awalnya dia hanya menghasilkan aiskrim buah-buahan untuk anaknya yang sering mengalami masalah sembelit dan tidak terfikir untuk menjualnya.

"Ia mungkin berikutan cuaca yang agak panas dan aiskrim kami hanya menggunakan buah-buahan asli dan tiada perisa tiruan digunakan.

"Apabila saya lihat orang dewasa turut menikmati aiskrim ini, ia menaikkan semangat untuk terus menjalankan perniagaan ini dengan serius," katanya kepada Bisnes Metro.

Dalam pada itu, menurutnya, pihaknya bakal mengeluarkan perisa unik terbaru bagi bulan Jun ini iaitu strawberry cookie dough.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Jun 2021 @ 7:01 AM