SELESA berkerja di rumah.
SELESA berkerja di rumah.
Muhamaad Razis Ismail


Terbabit dalam bidang perbankan selama sembilan tahun dengan pendapatan yang boleh dikatakan cukup lumayan.

Sepanjang tempoh itu juga, Nur 'Ainee Mohd Zin pernah berkhidmat di dua bank terkemuka di negara ini.

Bagaimanapun selepas hampir satu dekad, wanita ini membuat keputusan drastik untuk berhenti dalam karier yang diminati sejak kecil dengan beralih arah terhadap bidang perniagaan.

Biarpun tidak memiliki asas yang kukuh, ibu kepada dua anak ini nekad keluar daripada zon selesa untuk menceburi bidang perniagaan pakaian kanak-kanak yang mempunyai cabaran tersendiri.

Nur 'Ainee mengakui sejak daripada kecil dia sememangnya meminati bidang perakaunan sehingga dapat melanjutkan pengajian ke Wellington, New Zealand dengan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

ANTARA pelatih OKU di Tapai yang menghasilkan aksesori batik.
ANTARA pelatih OKU di Tapai yang menghasilkan aksesori batik.

"Selepas menamatkan pengajian, saya bekerja dengan bank selama sembilan tahun. Memang diakui bidang perbankan menawarkan bonus dan gaji yang bagus.

"Bagaimanapun, apabila sudah memiliki dua anak, saya rasakan masa sangat terhad dengan keluarga. Saya hanya dapat luangkan masa dengan mereka hanya pada hujung minggu.

"Selepas berbincang dengan suami dan berfikir secara mendalam, saya mengambil keputusan untuk menamatkan kerjaya dalam perbankan sebaliknya menceburi dunia perniagaan. Ia demi masa lebih fleksibel untuk bersama keluarga," kata pengasas pakaian kanak-kanak jenama Eloque itu.

Ternyata selepas terbabit dalam dunia perniagaan pakaian kanak-kanak secara dalam talian, dia menyedari segalanya tidak semudah seperti yang disangka.

"Saya berdepan cabaran berbeza kerana semuanya bergantung kepada diri sendiri. Pada tahun pertama saya hampir berputus asa dan pernah terfikir untuk kembali ke bidang perbankan.

"Bagaimanapun, selepas berfikir secara mendalam dan mendapat dorongan daripada keluarga, saya kembali fokus dalam bidang baru yang diceburi ini.

KERJASAMA Eloque dengan Tapai memberi semangat dan membantu OKU menjana pendapatan.
KERJASAMA Eloque dengan Tapai memberi semangat dan membantu OKU menjana pendapatan.

"Alhamdulillah kini, selepas dua tahun, saya semakin selesa dengan mengeluarkan pelbagai produk termasuk baju kurung, kemeja dan kurta yang menggunakan tema batik dan kasual dijual secara dalam talian," kata pengasas pakaian kanak-kanak jenama Eloque itu.

Malah dia menjadikan ruang tamu di rumahnya sebagai 'pejabat' dalam menguruskan perniagaannya yang sudah menembusi pasaran di platform dalam talian di luar negara.

"Bekerja di rumah sebenarnya ada cabaran sendiri yang memerlukan disiplin tinggi kerana apa sahaja berlaku boleh mengganggu fokus. Tambahan pula tiada siapa nak marah sekiranya kita buat kesilapan dan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua anak berada di rumah.

"Jadi, saya buat jadual untuk memastikan tugasan yang ada perlu diselesaikan dalam tempoh ditetapkan," katanya.

Katanya, idea untuk memberi fokus penghasilan pakaian kanak-kanak berusia setahun sehingga lapan tahun tercetus daripada pengalaman sendiri yang sukar mencari pakaian yang sesuai untuk anaknya.

"Kemudian saya terfikir untuk menghasilkan produk pakaian dengan jenama sendiri bagi mencari penyelesaian kepada ibu bapa yang berdepan masalah sama.

"Pada masa sama, saya mempunyai keinginan untuk membantu menaikkan kembali industri batik di negara ini dengan memodenkan rekaan tradisional dan kasual sedia ada kepada masyarakat sejak dari kecil.

"Sebelum ini, pakaian tema batik hanya dipakai pada majlis tertentu sahaja, oleh itu kita mahu membuat kelainan daripada segi rekaan sebagai pakaian harian," katanya ketika ditemui di kediamannya di Shah Alam, baru-baru ini.

SEBAHAGIAN pakaian kanak-kanak dengan menggunakan tema batik dan kasut.
SEBAHAGIAN pakaian kanak-kanak dengan menggunakan tema batik dan kasut.

Biarpun sibuk dengan karier barunya sebagai seorang usahawan, Nur 'Ainee turut aktif bekerjasama dengan produk jenama Tapai yang dihasilkan di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) di Wakaf Tapai, Terengganu. Sekali gus membantu orang kurang upaya (OKU) memiliki kemahiran jahitan dalam menghasilkan produk batik.

"Kami dan Tapai bekerjasama menghasilkan aksesori seperti beg dinamakan sebagai Eloque x Tapai menggunakan batik tradisional Terengganu. Usaha ini sekurang-kurangnya dapat memberi semangat dan membantu mereka menjana pendapatan selain menaikkan jenama Tapai.

"Menerusi kerjasama seperti ini, ia memberi kepuasan berbeza kerana dapat membantu mereka yang memerlukan dan saya tidak menolak untuk bekerjasama dengan pihak lain di masa hadapan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Julai 2020 @ 7:00 AM