GRADUAN PhD UPM dalam antropometri usahakan butik Rumah Jahit Dr Qees secara dalam talian.
GRADUAN PhD UPM dalam antropometri usahakan butik Rumah Jahit Dr Qees secara dalam talian.
Muhamaad Razis Ismail


SETIAP individu mempunyai impian dan cita-cita yang ingin dicapai dalam hidup, namun bukan semua dapat merealisasikannya.

Kadang kala pelbagai usaha sudah dilakukan termasuk mengorbankan masa, wang dan tenaga namun masih belum berjaya.

Biarpun berdepan kegagalan, ia bukanlah alasan untuk terus kecewa dan menyerah kalah.

Itulah antara cabaran yang terpaksa dihadapi Dr Siti Balkis Bari, 38, sejak empat tahun lalu.

Memiliki ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang Sains Pengguna dari Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 2017 bukanlah jaminan untuk mencapai cita-citanya sebagai pensyarah.

Biarpun begitu, ibu kepada empat anak ini tidak berputus asa dan masih meneruskan usaha untuk mencapai impiannya.

Dalam pada itu, beliau memanfaatkan kepakaran dalam bidang antropometri iaitu berkenaan ukuran dan bentuk badan manusia untuk terbabit dalam bidang perniagaan.

Dr Siti Balkis berkata, ketika melanjutkan pengajian PhD di UPM, beliau menjalankan penyelidikan mengenai saiz pakaian kanak-kanak berusia enam tahun di negara ini.

Katanya, idea untuk menjalankan kajian itu tercetus daripada penyelianya berikutan kesedaran berkenaan perkara itu masih kurang.

SITI Balkis mengukur dada seorang kanak-kanak untuk memastikan pakaian dihasilkan memberi keselesaaan.
SITI Balkis mengukur dada seorang kanak-kanak untuk memastikan pakaian dihasilkan memberi keselesaaan.

MENYIAPKAN tempahan pelanggan.
MENYIAPKAN tempahan pelanggan.

"Di negara ini, kebanyakan ukuran pakaian kanak-kanak tidak mengambil kira saiz sebenar badan. Pakaian sedia ada banyak menggunakan saiz dari United Kingdom (UK).

"Keadaan ini menyebabkan pakaian sedia ada bukan sahaja tidak cantik malah memberi ketidakselesaan dan kurang selamat untuk kanak-kanak yang aktif.

"Oleh itu saya buat kajian selama enam tahun untuk mendapat ukuran yang lebih tepat berdasarkan ketinggian dan berat badan kanak-kanak," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Sudah menjadi kelaziman, selepas memperoleh PhD dan bergelar Doktor, ramai yang cenderung menceburi kerjaya idaman.

Begitu juga dengan Dr Siti Balkis namun, mungkin masih belum rezeki impiannya untuk menjadi pensyarah masih belum tercapai.

Menurutnya, bukan mudah untuknya menerima perkara itu selepas hampir semua rakan PhD sudah bergelar pensyarah dalam bidang masing-masing.

Katanya, hampir tiga tahun, beliau mengambil masa untuk menerima kenyataan itu sehingga negara dilanda pandemik Covid-19, tahun lalu.

"Saya pernah dipanggil temuduga untuk jawatan pensyarah di sebuah universiti tempatan namun tidak berjaya.

"Kemudian, saya menjadi tukang jahit dan suri rumah sepenuh masa. Dengan kerja ini, saya boleh menguruskan masa sendiri.

DIRAIKAN dalam Majlis Meraikan Graduan Fakulti Ekologi Manusia 2017.
DIRAIKAN dalam Majlis Meraikan Graduan Fakulti Ekologi Manusia 2017.

"Apabila negara dilanda pandemik, di samping bekerja dari rumah, saya dapat memberi tumpuan kepada anak yang perlu menjalani sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR)," katanya.

Beliau menggunakan kepakaran dalam bidang antropometri dengan menubuhkan butik pakaian Rumah Jahit Dr Qees secara dalam talian.

"Ukuran pakaian kanak-kanak saya ambil menerusi panggilan telefon dengan hanya mengambil ketinggian dan berat badan di samping merujuk gambar kanak-kanak yang diberikan.

"Alhamdulillah, pelanggan berpuas hati dengan memberi maklum balas positif terhadap pakaian yang dihasilkan," katanya.

Pada masa sama, beliau juga tidak malu berniaga pakaian di tapak jualan di kompleks kerajaan di Putrajaya.

"Ramai juga dalam kalangan peniaga dan pelanggan terkejut apabila mendapat tahu saya pemegang PhD.

"Saya tidak malu mengaku sebagai lulusan PhD yang berniaga di kaki lima, asalkan berusaha mencari rezeki yang halal," katanya.

Beliau turut menghasilkan e-buku bersama tiga rakan bertajuk 'Antologi Pertama Suka-Duka Perjalanan PhD Kami' untuk berkongsi pengalaman.

Biarpun sudah selesa sebagai usahawan namun Dr Siti Balkis masih bertekad untuk mencapai cita-citanya menjadi pensyarah.

"Saya masih belum mengalah dan usaha mesti diteruskan untuk mencapai impian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Julai 2021 @ 7:01 AM