KEMENANGAN yang memberi makna besar kepada Mohd Nazil untuk pergi jauh dalam bidang fesyen.
KEMENANGAN yang memberi makna besar kepada Mohd Nazil untuk pergi jauh dalam bidang fesyen.
Muhamaad Razis Ismail


Setiap individu terutama yang sudah meningkat dewasa pasti mempunyai kenangan atau momen indah pada zaman kanak-kanak.

Kenangan pahit dan manis ini mempunyai nilai sentimental tersendiri sehingga membuatkan sesiapa sahaja tersenyum apabila terimbau kembali saat indah itu.

Apabila ditanya apa kenangan ketika zaman kanak-kanak yang paling digemari? Pasti antara jawapan yang diberikan adalah aktiviti bermain bersama rakan.

Sebelum kegilaan terhadap gajet, bagi kanak-kanak pada ketika itu antara barang permainan yang wajib dimiliki adalah guli, selipar, tempurung lama dan penutup botol kaca.

Bagi Mohd Nazil Arsan, 29, barang permainan ini memberi inspirasi kepadanya untuk diterjemahkan dalam rekaan pakaian yang bertemakan nostalgia terindah. Kembali saat indah itu.

Lebih manis idea kreatif anak kelahiran Kuching, Sarawak ini berjaya menarik perhatian juri sehingga dinobatkan sebagai pemenang anugerah Rekaan Batik Piala Seri Endon 2022 yang ke-17 bagi kategori fesyen.

Menerusi kreativiti yang dimiliki, pelajar bidang tenunan Kampus Satelit Institut Kraf Negara (IKN) Sarawak itu membuktikan kemampuan dalam bidang fesyen.

Mohd Nazil berkata, rekaan yang diketengahkan itu menceritakan kenangan indah ketika menyusuri zaman kanak-kanak.

MENGETENGAHKAN fesyen minimalis untuk menarik minat golongan muda.
MENGETENGAHKAN fesyen minimalis untuk menarik minat golongan muda.

"Rekaan ini diinspirasikan dari jiwa saya ketika menjadi kanak-kanak yang kemudian diterjemahkan dalam rekaan fesyen ini.

"Saya menjadikan item atau barang lama seperti guli kaca, selipar, tempurung lama, penutup botol kaca, gula-gula dan barang pada 90-an sebagai rujukan," katanya.

Mengulas lanjut, elemen yang dititikberatkan dalam setiap rekaan ialah perasaan kanak-kanak yang digabungkan dengan struktur ukiran Melayu tradisional.

"Saya mengolah elemen ini dalam bentuk fantasi dan ilustrasi pada setiap rekaan corak dan motif yang dihasilkan.

"Pada masa sama saya menggunakan warna harmoni dan warna 'baby blue' dalam rekaan," katanya.

RONA ‘baby blue’ dengan suntikan ilusi cerminan.
RONA ‘baby blue’ dengan suntikan ilusi cerminan.

Menurutnya, dalam rekaan yang dihasilkan, dia cuba mengetengahkan fesyen minimalis yang dapat menarik minat golongan muda ke arah animasi.

"Rekaan yang saya ditampilkan adalah ringkas dan mudah serta sesuai untuk kemeja, baju kurung moden, kimono dan kardigan.

"Fokus saya sudah pasti kepada golongan muda dengan menggunakan rona warna yang kurang agresif.

"Pada masa sama, saya suntik sedikit ilusi cerminan dalam setiap reka corak pada semua pakaian yang dihasilkan," katanya.

Tambahnya, pembabitannya dalam bidang fesyen ini adalah galakkan daripada pensyarah dan guru.

"Sebenarnya saya hanya minat ke arah seni ilustrasi dan seni reka bentuk pembuatan patung kanak-kanak. Pembabitan dalam bidang fesyen ini untuk menambah baik kemahiran dalam fesyen," katanya.

MENGGABUNGKAN elemen perasaan kanak-kanak dengan struktur ukiran Melayu tradisional.
MENGGABUNGKAN elemen perasaan kanak-kanak dengan struktur ukiran Melayu tradisional.

Diminta mengulas mengenai kemenangannya baru-baru ini, dia mengakui terkejut bercampur gembira apabila diumumkan sebagai pemenang.

"Saya tidak sangka, kali ini rezeki saya apabila diumumkan sebagai pemenang selepas empat kali menyertai pertandingan ini sebelum ini.

"Bukan mudah kerana rekaan peserta lain menarik dan unik.

"Harapan saya, dengan kemenangan ini dapat menggalakkan lebih ramai golongan muda untuk meminati penghasilan rekaan dengan tema fantasi dan animasi," katanya.

Ditanya perancangan masa hadapan, dia ingin membuat kajian dan pembangunan dalam bidang tekstil dan reka bentuk fantasi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 September 2022 @ 7:00 AM