DAPUR komuniti bukan sekadar membantu dalam penyediaan tetapi
DAPUR komuniti bukan sekadar membantu dalam penyediaan tetapi
Nurul Husna Mahmud

Dapur komuniti atau 'cloud kitchen' adalah istilah diperkenalkan kepada penulis apabila bercerita mengenai satu kumpulan anak muda mewujudkan servis khusus dalam penyediaan tempat dan kemudahan bagi mengembangkan perniagaan makanan.

Pada awalnya penulis beranggapan ia satu jenama atau syarikat pengeluaran makanan, hakikatnya modus operandi dapur komuniti itu yang dinamakan Foodlab itu nyata sesuatu yang berbeza.

Menurut Pengasas Bersama Foodlab, Zahaby Zainuddin berkata, seperti mana syarikat besar yang memiliki dapur pusat untuk menyediakan makanan bagi semua francais atau cawangan kafe, dapur komuniti ini membantu menyediakan servis sama tetapi untuk komuniti peniaga kecil makanan.

"Perbezaannya dengan dapur komuniti yang lain ialah kami kembangkan perkhidmatan bukan hanya dalam penyediaan tempat dan peralatan, sebaliknya turut membantu dalam pasaran runcit lebih besar serta akses.

"Kami mulakan dengan peringkat 'ideation' ketika menyertai satu projek inkubator bawah Seedlab inisiatif bawah Petronas pada Mac lalu tetapi hanya beroperasi bermula September lalu.

"Kami membantu menggerakkan usahawan makanan dari rumah yang ada potensi. Usahawan ini antara yang hilang pendapatan apabila sektor tertentu terjejas kerana pandemik Covid-19," katanya.

Meskipun beroperasi sejak September lalu, kata Zahaby, dapur komuniti sudah memberi manfaat kepada tiga usahawan yang rata-rata mampu mencapai jualan 100 hingga 300 pek makanan setiap hari.

"Staf kami mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing, baik dari segi teknologi makanan, peruncitan dan kaedah pemasaran termasuk atas platform talian.

"Atas faktor itu juga kami lebih selektif dengan pilihan usahawan dan ada kriteria tertentu dalam memastikan usahawan makanan dari rumah ini boleh berkembang bersama kami.

"Dalam pemilihan usahawan, kami biasanya meneliti kumpulan peniaga bawah 35 tahun yang mempunyai skil memasak yang pelbagai dan bercita-cita besar untuk kembangkan perniagaan mereka.

"Kami ada tapisan seperti ujian rasa, kualiti dan kompetensi apabila beraksi di ruang dapur kami," katanya.

ZAHABY memantau makanan disediakan usahawan bawah dapur komuniti berkenaan.
ZAHABY memantau makanan disediakan usahawan bawah dapur komuniti berkenaan.

Ketika ini, pihaknya dalam perancangan berpindah ke fasiliti baru lebih besar untuk menampung keperluan lebih ramai usahawan makanan dari rumah.

Zahaby berkata, pihaknya menyasarkan tiga cawangan dapur untuk bangunkan 18 usahawan dalam tempoh tiga tahun.

"Cita-cita kami cukup besar iaitu mahu lahirkan usahawan makanan panas dan bakeri berjaya sekurang-kurangnya enam orang bagi tahun depan.

"Apabila mereka ini berkembang, kami turut sama berkongsi kebaikan selain menjana pendapatan dengan komisen jualan atau caj penghantaran dikenakan pada makanan terbabit," katanya.

Tambah Zahaby, satu lagi fokus pihaknya dalam sektor makanan berkenaan ialah mencari teknologi dapat membantu memanjangkan hayat makanan berkenaan.

"Selain aspek pembungkusan dan estetika paparan makanan bukan sahaja menarik di rak rangkaian serbaneka, malah kami turut mencari alternatif supaya usahawan ini dapat menghasilkan makanan selamat dan juga lebih tahan lama," katanya.

Bagi pengusaha Periuk Bujang, Hanif Ali,34, impiannya untuk mengembangkan resipi warisan keluarga iaitu Nasi Lemak Mak Leha masuk ke rangkaian kedai Mesra sudah tertanam sejak remaja lagi.

"Ibu saya adalah peniaga warung di kampung dan resipi saya bawa untuk komersialkan adalah turun temurun.

"Apabila lihat kolaborasi boleh bawa sejauh ini memang bersyukur dan keluarga juga tumpang gembira serta bangga apabila dapat lihat jenama nasi lemak mak yang besarkan kami empat beradik masuk ke kedai lebih besar," katanya.

KEMUDAHAN yang selesa di dalam dapur komuniti dapat tingkatkan pengeluaran usahawan kecil.
KEMUDAHAN yang selesa di dalam dapur komuniti dapat tingkatkan pengeluaran usahawan kecil.

Menjelaskan sebelum penyediaan menggunakan dapur komuniti, Hanif berkata, penyediaan makanan di rumah sangat terhad.

"Kalau di rumah saya hanya mampu menyediakan 30 pek makanan sehari berbanding fasiliti di sini membantu meningkatkan penyediaan sehingga 300 pek sehari," katanya.

Tambah Hanif lagi, penting dalam penyediaan makanan aspek keselamatan yang diutamakan dalam amalan di dalam dapur komuniti terbabit.

"Pada saya banyak dipelajari terutama aspek keselamatan dan kesihatan makanan sendiri diamalkan membuatkan peniaga meningkatkan kualiti produk mereka.

"Pek makanan juga dalam bentuk yang menarik sesuai dengan jenis produk selain dapat pantau dari segi jualan kerana mereka turut membantu memasarkan dalam platform sendiri," katanya.

Kata Hanif, dia tidak menyangka boleh pergi jauh dalam bidang itu kerana sebelum ini fokusnya lebih kepada kerjaya sebagai pengurus acara.

"Memang saya tidak sangka Covid-19 menjadi titik perubahan dalam kerjaya. Saya dulu selesa dengan kerja lama dan tidak teroka potensi lain.

"Kini saya boleh berbangga apabila dapat kembangkan perniagaan dan resipi warisan untuk dinikmati lebih ramai orang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 January 2021 @ 7:00 AM