MALAYSIA kaya dengan pelbagai seni persembahan.
MALAYSIA kaya dengan pelbagai seni persembahan.
Hafiz Ithnin

Memandangkan Covid-19 melanda dunia, ramai pengiat seni terjejas kerana tidak dapat berkarya seperti sebelum ini terutama artis yang bekerja di atas pentas sebagai pelakon teater, penari dan pemain muzik.

Melihat kepada keadaan itu, Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) dan diuruskan Masakini Theatre, Sutra Foundation dan Suprise Venture menganjurkan festival kesenian secara atas talian yang dikenali sebagai Gerak Angin, baru-baru ini.

Pengerusi Sutra Foundation, Datuk Ramli Ibrahim berkata, tayangan video berkenaan yang disiarkan menerusi Youtube mendapat sambutan yang baik daripada penonton kerana dalam tempoh persembahan itu, terdapat lebih 40,000 tontonan.

Jelasnya, terdapat 17 syarikat produksi merentasi tarian muzik dan teater dan lebih 200 individu di dalam industri seni persembahan menyertai festival berkenaan.

PELANCARAN Festival Gerak Angin yang dirasmikan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia.
PELANCARAN Festival Gerak Angin yang dirasmikan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia.

"Dengan adanya festival secara maya ini kita dapat membantu anak-anak seni persembahan untuk terus berkarya dalam norma baharu dan mempraktikan bakat mereka menerusi platform sosial media.

"Ia juga sebagai satu strategi bagi menarik perhatian peminat seni persembahan dari luar negara yang tidak dapat datang ke Malaysia untuk menonton persembahan hasil sentuhan bakat tempatan," katanya.

Gerak Angin disiarkan sekali sehari di Youtube dan dirakam menggunakan kamera berdifinsi tinggi, 4K bagi menawarkan tayangan yang menarik kepada penonton.

Ramli berkata, Gerak Angin membantu pemain industri seni persembahan untuk terus mendapat limpahan ekonomi meskipun perlu melalui norma baharu akibat pandemik Covid-19.

"Dalam keadaan sekarang ini, kita perlu gunakan platform yang boleh ditonton orang ramai tanpa membabitkan risiko yang tinggi kepada penonton. Jadi, dengan adanya festival secara vitual ini, ia dapat memberi peluang kepada bakat tempatan untuk terus berkarya.

"Selain itu, seni persembahan Malaysia yang unik juga dapat ditonton masyarakat luar negara tanpa perlu ke Malaysia ketika festival ini berlangsung dan di sini, menunjukkan kita perlu mencari peluang baharu dalam mempromosikan seni tempatan ke luar negara," katanya.

Jelasnya lagi, Malaysia mempunyai seni persembahan yang unik kerana kita mempunyai kepelbagaian kaum dan budaya yang boleh menarik minat orang luar untuk menyaksikannya.

"Paling penting, kita tidak mahu pandemik ini terus memberi kesan kepada pendapatan pemain indsutri muzik persembahan kerana ketika ini mereka agak sukar untuk membuat persembahan secara bersemuka dengan penonton," katanya.

ANTARA persembahan tempatan ditonjolkan dalam Festival Gerak Angin.
ANTARA persembahan tempatan ditonjolkan dalam Festival Gerak Angin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2020 @ 6:30 AM