MUHAMMAD ADAM (dua dari kanan) menyampaikan replika cek kepada Dr Hamzah (dua dari kiri).
MUHAMMAD ADAM (dua dari kanan) menyampaikan replika cek kepada Dr Hamzah (dua dari kiri).
Zaitie Satibi


‘SHARE The Love’ anjuran NY Steak Shack bagi membantu mengumpul dana infrastruktur Masjid Tun Abdul Aziz (MTAA) atau nama gelarannya Masjid Bulat di Petaling Jaya, Selangor yang semakin usang berikutan tidak pernah dinaik taraf sejak ditubuhkan 42 tahun lalu berjaya mengumpul sumbangan sebanyak RM11,300.

Dana berkenaan dikumpulkan daripada pelanggan yang menjamu selera dan membuat sumbangan terus ke tabung derma yang diletakkan di lapan cawangan di Sunway Velocity, Sunway Pyramid, IOI City Mall, Subang Parade, AEON Mall Shah Alam, Sogo Kuala Lumpur, Alamanda Putrajaya dan Melawati Mall pada 1 Februari hingga 30 Jun lalu.

Pengurus Besar Jenama NY Steak Shack, Muhammad Adam Mah berkata, masjid itu dinamakan sempena bekas Menteri Besar Selangor yang berkhidmat pada 1954 iaitu Tun Abdul Aziz Abdul Majid selain berfungsi sebagai tempat beribadat dan aktiviti keagamaan, ia turut menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan, kelas al-Quran dan fardu ain (Kafa).

“Bagaimanapun, kami difahamkan masjid ini memerlukan dana antara RM7 juta hingga RM8 juta dengan fokus utama untuk membesarkan dewan solat, membina kemudahan lif bagi warga emas dan orang kurang upaya, membaik pulih tandas dan tempat wuduk serta naik taraf kemudahan kelas Kafa.

“Ini berikutan pertambahan ahli kariah sehingga menimbulkan kesesakan luar biasa setiap kali menjelangnya solat Jumaat dan solat hari raya, di samping fungsi masjid kini sudah berubah apabila ia bukan sekadar tempat untuk umat Islam beribadat, malah semakin dinamik sebagai pusat kegiatan masyarakat,” katanya.

Sumbangan diserahkan Muhammad Adam kepada Nazir MTAA, Dr Hamzah Darus dalam majlis ringkas sempena sambutan hari terbuka Aidilfitri anjuran masjid berkenaan, baru-baru ini.

Katanya, pihaknya terpanggil untuk membantu mengumpul dana infrastruktur dan menganjurkan kempen ‘Share The Love’ sebagai inisiatif bagi mengatasi kekurangan kemudahan di masjid berkenaan seterusnya menyediakan keselesaan kepada jemaah.

“Kami berasa terharu dengan kemurahan hati pelanggan dan sokongan yang diterima dalam menjayakan kempen mengumpul dana ini. Musim perayaan bukan saja detik untuk meraikan, malah ia juga masa menginsafi diri dan memberi kembali kepada mereka yang memerlukan.

“Menerusi sokongan semua pihak, kita dapat melakukan impak yang positif kepada masjid ini selaras dengan hasrat menjadikan masjid ini sebagai tapak untuk kemudahan komuniti pelbagai bangsa dan agama memandangkan lokasinya dalam kawasan kejiranan bercampur,” katanya.

Masjid Bulat yang terletak di persimpangan antara Jalan Semangat dan Jalan Dato Abdul Aziz, Seksyen 14 ini menjadi bangunan ikonik bandar raya berkenaan berikutan seni bina ‘eklektik’ menggabungkan gaya Mughal dan Arab lalu menghasilkan struktur bulat yang moden.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2019 @ 9:29 AM