Hafiz Ithnin


TIDAK sampai lima minit tiba di Masjid Ara Damansara, Petaling Jaya kedengaran azan Asar berkumandang. Seorang lelaki berbaju Melayu berwarna hitam mengambil air sembahyang di ruang wuduk penuh tertib dan sempat melemparkan senyuman kepada penulis yang berada di sebelahnya.

Usai menunaikan solat empat rakaat itu, penulis bergerak menuju ke luar ruang solat dan lelaki berbaju Melayu hitam lengkap bersongkok serta samping itu menuju ke tempat yang sama iaitu lokasi untuk mengadakan temu bual sempena pengenalan aplikasi terbaharu Maxis, Aplikasi Deria Takbir.

Rupanya beliau ialah bekas Presiden Persekutuan Orang Pekak Malaysia, Mohamad Sazali Shaari yang terbabit dalam kempen pengenalan aplikasi berkenaan.

Ditemani jurubahasa yang hanya dikenali sebagai Zuraida, setiap soalan yang ditanyakan kepada beliau diterangkan dan dijawab pantas mengikut pergerakan bahasa isyarat antara mereka berdua.

Pastinya tangan penulis juga perlu pantas menulis setiap penerangan yang diberikan Zuraida kerana tidak mahu menyusahkan mereka berdua untuk menerangkan sekali lagi sekiranya terlepas butir kata penting dalam temu bual itu.

Mohamad Sazali antara kira-kira 38,000 orang pekak yang berdaftar di Jabatan Kebajikan Masyarakat. Beliau sebenarnya dilahirkan normal ketika bayi dan disahkan hilang pendengaran pada usia tujuh tahun selepas mengalami demam panas.

ANTARA sedutan di sebalik tabir video kempen Aidilfitri Maxis.
ANTARA sedutan di sebalik tabir video kempen Aidilfitri Maxis.

Kini usia Mohamad Sazali menginjak 60 tahun dan pastinya status orang kurang upaya (OKU) sudah sebati dengan hidupnya yang melebihi separuh abad itu. Apa yang membuatkan penulis kagum, beliau langsung tidak kelihatan kekok ketika menunaikan solat.

Menurut Mohamad Sazali, selain bahasa isyarat, teknologi amat memainkan peranan penting bagi memastikan kehidupan sehariannya dapat berjalan lancar.

Mengimbau kembali zaman sebelum adanya kemajuan Internet di negara ini, katanya, mesin faks menjadi nadi penting berkomunikasi secara jarak jauh. Apabila wujud khidmat sistem pesanan ringkas (SMS), ia membantu melancarkan komunikasi dua hala golongan itu khususnya dari segi kepantasan menerima maklumat.

“Selepas beberapa tahun kemunculan SMS, kita mula menerima teknologi yang menggunakan telefon pintar dan dilengkapi kamera. Jadi perkembangan teknologi ini amat membantu untuk mempercepatkan komunikasi dua hala.

“Penggunaan teknologi penting bagi membolehkan golongan seperti kami dapat berdikari dan tidak perlu bergantung kepada orang lain untuk berkomunikasi,” katanya.

RINDU DENGAR TAKBIR RAYA

Memandangkan temu bual ini sebenarnya mengenai kempen pengenalan Aplikasi Deria Takbir, penulis bertanyakan adakah Mohamad Sazali merindui seruan azan, mendengar ayat suci al-Quran dan sebutan isyarat imam ketika berjemaah? Senyumannya menjadi tanda isyarat yang perlu ditafsirkan penulis.

“Kali terakhir saya mendengar azan, alunan lunak takbir pada pagi raya dan sebutan isyarat daripada imam adalah ketika masih kanak-kanak. Pastinya perasaan rindu untuk mendengarnya ketika beribadat sentiasa ada.

“Pada masa ini, jika solat secara berjemaah saya akan melihat pergerakan orang sebelah untuk rukuk dan sujud. Malah ada cara tersendiri untuk saya mengaminkan di dalam hati seusai imam membacakan surah al-Fatihah,” katanya.

Beliau juga tidak menafikan, penggunaan peranti pintar seperti telefon pintar banyak membantunya beribadat apatah lagi menjadi rujukan untuk bahan bacaan agama dan makluman berkenaan waktu solat menerusi getaran telefon.

“Mengetahui masuk waktu solat penting kerana pada Ramadan, fungsi getaran pada telefon pintar dapat memaklumkan waktu bersahur dan berbuka.

APLIKASI Deria Takbir oleh Maxis khas untuk golongan bermasalah pendengaran.
APLIKASI Deria Takbir oleh Maxis khas untuk golongan bermasalah pendengaran.

“Teknologi getaran pada telefon pintar juga membantu kami untuk tidak bergantung kepada orang lain seperti bangun bersahur atau mengetahui masuknya waktu solat atau berbuka,” katanya.

Menjelang pagi 1 Syawal setiap tahun, nada takbir raya yang mempunyai ‘jiwa’ tersendiri untuk meraikan kejayaan umat Islam berpuasa selama sebulan semestinya menjadi perkara dinantikan.

Namun, bagaimana dengan golongan yang senasib dengan Mohamad Sazali?

“Saya amat rindu untuk mendengar takbir raya dan biasanya apabila di masjid saya cuma mengikut pergerakan mulut jemaah yang lain untuk bersama-sama bertakbir.

“Bagaimanapun, selepas ini mungkin kerinduan merasai nikmat untuk bertakbir dapat diubati kerana syarikat telekomunikasi, Maxis memperkenalkan Aplikasi Deria Takbir Raya yang semestinya membantu golongan seperti saya untuk turut merasai pengalaman itu,” katanya.

Jelasnya, beliau juga antara yang individu yang terawal dapat menguji aplikasi berkenaan yang dilihat unik dan amat membantu golongan sepertinya tidak ‘terasing’ ketika pagi raya.

“Seperti yang diketahui, ketika menggunakan peranti pintar, kami amat bergantung kepada sistem getaran dan aplikasi ini turut menggunakan sistem getaran yang mempunyai alunan takbir sama,” katanya.

Malah Mohamad Sazali juga berharap lebih banyak syarikat korporat dalam bidang komunikasi dan perkhidmatan awam lain tampil membantu golongan yang mempunyai masalah pendengaran.

GOLONGAN bermasalah pendengaran tidak terkecuali untuk mempelajari ilmu agama.
GOLONGAN bermasalah pendengaran tidak terkecuali untuk mempelajari ilmu agama.

APLIKASI UBAT KERINDUAN

Maxis Bhd (Maxis) menjadi peneraju memperkenalkan Aplikasi Deria Takbir yang dapat membantu golongan yang ada masalah pendengaran untuk bersama-sama bertakbir raya.

Menggunakan sistem getaran haptic dan visual cymatic yang dapat menterjemahkan alunan takbir sebenar membolehkan golongan itu menikmati alunan takbir yang paling dirindui umat Islam di Malaysia pada sambutan Aidilfitri dan Aidiladha.

Ketua Jenama dan Pemasaran Maxis, Tai Kam Leong berkata, memandangkan aplikasi itu berkait rapat dengan agama, pihaknya mendapatkan rujukan daripada Pegawai Hal Ehwal Islam Merangkap Imam 3 Masjid Ara Damansara, Mohammad Khairul Mohd Lias bagi memastikan tidak berlaku sebarang kesalahan seperti sebutan yang diterjemahkan menerusi getaran itu.

Beliau berkata, aplikasi itu yang dibangunkan sejak Februari lalu diilhamkan selepas Maxis mendapati terdapat golongan di negara ini yang masih dipinggirkan kegembiraan mereka ketika menyambut perayaan.

“Memandangkan Maxis mempunyai kakitangan pelbagai bangsa dan agama, kami melihat kepelbagaian ini adalah unik dan setiap individu tidak seharusnya diketepikan hak mereka untuk bergembira apabila menyambut perayaan.

“Disebabkan itu, kita dapati golongan masalah pendengaran adalah yang berdepan dengan cabaran untuk mendengar takbir pada Aidilfitri dan kita mula bekerja untuk memastikan mereka tidak terpinggir,” katanya.

Aplikasi Deria Takbir boleh didapati di App Store pada 24 Mei lalu turut membolehkan orang ramai menyaksikan video kempen Aidilfitri Maxis yang mengangkat tema menghargai golongan kelebihan upaya untuk bersama-sama menikmati perayaan itu.

Bersempena pelancaran itu, Maxis juga menghasilkan filem pendek, ‘Deria Takbir Raya,’ menceritakan seorang budak lelaki, Faiz yang mengalami masalah kedengaran dalam kehidupan sebenar dan menyambut Aidilfitri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2019 @ 9:11 AM