KEDIAMAN berbentuk trapezium memberi kelainan dalam seni bina rumah.
KEDIAMAN berbentuk trapezium memberi kelainan dalam seni bina rumah.
Hafiz Ithnin

Umum mengetahui aktiviti lasak membabitkan kanak-kanak di luar negara begitu berkembang pesat dan sentiasa mendapat sokongan daripada ibu bapa.

Malah kemudahan melakukan aktiviti seperti memanjat tebing tiruan banyak disediakan terutama di kawasan bandar. Ini kerana terdapat permintaan memberangsangkan daripada peminat kegiatan berkenaan.

Melihat kepada perkembangan itu, syarikat arkitek dari Finland, Ortraum Architects membina kediaman yang mempunyai struktur bangunan agak unik dan dilengkapi pelbagai kemudahan aktiviti lasak untuk kanak-kanak.

Kediaman itu terletak di kawasan hutan Helsinki sebenarnya dibina untuk rakan arkitek dan keluarganya yang terdiri daripada lima penghuni.

Di dalam ruang kediaman itu dilengkapi kemudahan dinding untuk aktiviti memanjat tembok tiruan bagi kanak-kanak, peralatan akrobatik dan tidak ketinggalan jaring keselamatan untuk jatuhan ketika aktiviti itu dilakukan.

JARING keselamatan bagi aktiviti arkrobatik untuk kanak-kanak di tingkat atas menambah keunikan dalam reka bentuk dalaman.
JARING keselamatan bagi aktiviti arkrobatik untuk kanak-kanak di tingkat atas menambah keunikan dalam reka bentuk dalaman.

Kediaman yang mempunyai empat bilik tidur itu lebih memfokuskan kepada ruang selesa untuk kanak-kanak dan hiasan dalamannya juga tidak sarat.

Setiap bilik tidur mempunyai mezanin membolehkan cahaya pada sebelah siang masuk dan menerangi ruang yang sekali gus mencerminkan kediaman itu mesra alam.

Lebih menarik, rumah tiga tingkat itu juga dilengkapi bilik sauna di ruang bawah tanah sesuai dengan keperluannya ketika musim sejuk atau digunakan untuk tujuan santai bersama keluarga.

Sesuai dengan kedudukannya dikelilingi hutan, kediaman itu juga menerapkan seni bina berkonsepkan alam semula jadi dengan elemen kayu sebagai latar dinding di luar rumah.

PERALATAN akrobatik di tengah ruang utama yang menempatkan semua bilik.
PERALATAN akrobatik di tengah ruang utama yang menempatkan semua bilik.

Lantai di dalam kediaman juga tidak terkecuali diterapkan lantai jenis kayu yang warnanya lebih lembut sepadan dengan rona dinding menerapkan warna pastel atau lembut seperti putih dan coklat.

Permainan warna lembut di dalam rumah sememangnya membantu menjadikan kediaman keluarga ini lebih mesra alam kerana dapat menjimatkan penggunaan lampu yang bergantung kepada tenaga elektrik.

Tidak ketinggalan, tingkap cermin pelbagai saiz bukan saja menonjolkan keunikan reka bentuk kediaman malah membantu pengaliran cahaya pada sebelah siang ke ruang dalamannya.

WARNA lembut pada dinding dan lantai menonjolkan rona kabinet dapur yang lebih terang.
WARNA lembut pada dinding dan lantai menonjolkan rona kabinet dapur yang lebih terang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 November 2018 @ 9:02 AM