AHLI keluarga membersihkan mayat Daniel Seba Sambara menggunakan berus.
AHLI keluarga membersihkan mayat Daniel Seba Sambara menggunakan berus.
Adi Safri

Umum mengetahui bahawa Indonesia antara negara yang rakyatnya terdiri daripada pelbagai etnik dan agama. Kelebihan itu menjadikan negara berkenaan istimewa kerana memiliki kepelbagaian budaya dan adat yang disambut pada perayaan tertentu.

Antaranya upacara Ma’nene iaitu festival unik dan tidak dijumpai di negara lain. Ma’nene ialah satu upacara menukar pakaian dan membersihkan ahli keluarga yang sudah meninggal dunia.

Upacara itu diadakan setiap tiga tahun oleh masyarakat Orang Asli Toraja di Kecamatan Rinding Allo, Toraja Utara, Sulawesi Selatan.

Penduduk Jonathan Sambara, 38, berkata, upacara itu dimulakan dengan penduduk bersama ketua masyarakat menziarahi kubur bagi menentukan tarikh untuk melakukan upacara berkenaan. Kebiasaannya upacara itu dilakukan selepas musim menuai padi.

“Kemudian, kami membuka keranda dan bungkusan mayat selepas dikeluarkan dari kubur. Lalu dijemur seketika bagi mengeringkan mayat untuk tujuan pengawetan dan dibersihkan menggunakan berus halus,” katanya.

Katanya, proses itu dilakukan mengambil masa sehari untuk memastikan mayat di dalam keadaan ‘segar’ dan bersih.

“Mayat ini akan ditukarkan pakaian baru yang dibeli khas mengikut saiz mereka.

“Kos menanam mayat dan upacara Ma’nene lebih tinggi berbanding upacara perkahwinan kerana ia dianggap paling penting bagi masyarakat Toraja,” katanya.

KERANDA dikeluarkan dari kubur untuk dijemur sebelum memakaikan mayat pakaian.
KERANDA dikeluarkan dari kubur untuk dijemur sebelum memakaikan mayat pakaian.

Menurutnya, jika sesebuah keluarga itu kaya maka lebih banyak wang perlu dibelanjakan untuk menyembelih kerbau atau khinzir bagi menjamu penduduk makan.

Sementara itu, Ketua Lembang Lempo Poton, Ruben Limbu berkata, terdapat seramai 1,086 penduduk di kawasan Kecamatan Rinding Allo itu yang kebanyakannya beragama Kristian.

“Mereka masih melakukan upacara ini berpegang teguh dengan adat dan amalan nenek moyang yang dahulunya menganut agama Aluk To Dolo iaitu menyembah dewa.

“Berbeza dengan kami melakukan upacara Ma’nene hanya sebagai adat iaitu membuka liang kubur dan membersihkan tanpa melakukan ritual penyembahan seperti agama nenek moyang dahulu,” katanya.

Balu kepada mendiang Daniel Sambara, Ludiah Limbong pula berkata, upacara itu seolah-olah pertemuan semula dengan mendiang suaminya yang meninggal dunia tiga tahun lalu.

“Saya gembira kerana dapat lihat suami dan waktu yang dinantikan seluruh ahli keluarga lain,” katanya.

Upacara itu diakhiri dengan jamuan kesyukuran hasil sumbangan daripada setiap ahli keluarga mendiang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 September 2018 @ 7:14 AM