WARIS Panglima Imam Zabidi yang hadir.
WARIS Panglima Imam Zabidi yang hadir.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Allahyarham Panglima Imam Zabidi Imam Shahbudin mungkin lebih dikenali di Pahang dan daerah Segamat, Johor kerana pembabitannya dalam beberapa peristiwa yang kini menjadi lipatan sejarah.

Berdasarkan catatan buku Sejarah Pahang yang ditulis pada 1935, Allahyarham turut dikenali sebagai Panglima Bebas Zabidi berasal dari Pahang.

Catatan lain pada buku berkenaan pula menjelaskan beliau terbabit dalam Perang Saudara Selangor antara Tengku Kudin dengan Raja Mahadi.

Panglima Imam Zabidi juga berjaya menyelamatkan Tok Gajah yang terperangkap dalam perang itu tapi akhirnya berjaya mengalahkan Raja Mahadi.

Selain itu, Allahyarham dikatakan orang yang bertanggungjawab membuka Kampung Awat, Segamat selepas beliau bersama keluarganya berhijrah dari Pahang ke kampung berkenaan.

Banyak lagi kisah menarik Allahyarham tapi maklumat mengenainya masih tidak diketahui umum termasuk tarikh kematiannya.

Oleh itu, waris Panglima Imam Zabidi mengambil inisiatif membuat kajian bagi mencari maklumat lanjut berkenaan datuk mereka yang cukup dikenali suatu ketika dulu.

Bukan itu saja, satu pertemuan waris Panglima Imam Zabidi julung kalinya berjaya diadakan di Masjid al-Ikhlas, Selayang baru-baru ini yang dihadiri kira-kira 600 waris.

Pengerusi Waris-Waris Imam Perang Zabidi, Datuk Seri Dr Ismail Ahmad berkata, pertemuan itu bertujuan mengeratkan hubungan waris dengan keluarga masing-masing yang sebelum ini tidak mengetahui mereka adalah bersaudara.

“Pada majlis ini, kami dapat menghimpunkan kira-kira 60 peratus waris keluarga besar ini dan sedang mengenal pasti waris lain.

“Kami mengambil masa dua bulan menjejaki waris yang ada ini menggunakan media sosial dan aplikasi WhatsApp,” katanya.

Beliau yang juga cicit Allahyarham Panglima Zabidi berkata, majlis berkenaan bukan sekadar berkumpul tapi turut berkongsi sedikit maklumat berkenaan sejarah Allahyarham yang tidak diketahui warisnya terutama generasi baru.

“Saya dapat tahu arwah datuk (Allahyarham Panglima Imam Zabidi) seorang terkenal apabila Tan Sri Mubin Sheppard dari Arkib Negara datang ke Kampung Awat untuk mencari kubur Allahyarham ketika kecil.

“Pada masa itu saya juga terkejut apabila mengetahui sejarah keluarga dan berusaha mencari maklumat mengenainya hingga ke hari ini,” katanya yang berusia 63 tahun.

Katanya, waris lain bercadang membukukan kisah Allahyarham apabila berjaya mengumpulkan maklumat lengkap berkenaan datuknya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2017 @ 1:46 PM