SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengunjungi pesakit buah pinggang dan hilang penglihatan, Mahadi Pungut di Taman Bukit Tiram di sini hari ini. Gambar Ihsan RPO
SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengunjungi pesakit buah pinggang dan hilang penglihatan, Mahadi Pungut di Taman Bukit Tiram di sini hari ini. Gambar Ihsan RPO
Mary Victoria Dass


Ulu Tiram: "Saya kini tidak dapat melihat namun cukup bersyukur dan gembira dengan keberangkatan Baginda," kata Leftenan Kolonel, Mahadi Pungut, 52, yang menerima kunjungan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Mahadi yang juga anak bekas kakitangan istana berkata, dia merasakan dirinya cukup bertuah apabila baginda Sultan berkenan berangkat ke kediamannya di Taman Bukit Tiram di Ulu Tiram di sini.

Menurutnya, malah sepanjang lawatan Baginda banyak menyampaikan nasihat serta kata-kata semangat kepadanya.

"Arwah ayah, Allahyarham Pungut Ahmad adalah bekas pekerja Istana Johor yang berkhidmat selama hampir 20 tahun. Dia meninggal dunia pada tahun 2011," katanya menerusi perkongsian bersama Royal Press Office (RPO) di Facebook Sultan Ibrahim hari ini.

Mahadi pernah berkhidmat selama hampir 31 tahun di dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan jawatan terakhir yang disandang ialah Pegawai Memerintah Batalion 21 RAMD Ke-23.

Baginda Tuanku Sultan berkenan meluangkan masa hampir sejam bersama keluarga Mahadi yang mengalami masalah penglihatan sejak 2022 akibat penyakit kencing manis serta menjalani rawatan hemodialisis.

Baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan peribadi dan buah tangan kepada Mahadi.

Mahadi dan pasangan, Kamaliza Rahmad, 42, dikurniakan tiga cahaya mata berusia 21, 20 dan 17 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mei 2023 @ 5:41 PM