KERETA jenis Cardillac Fleetwood 1959 yang digunakan Tunku Abdul Rahman ketika menjadi perdana menteri. FOTO Amirudin Sahib
KERETA jenis Cardillac Fleetwood 1959 yang digunakan Tunku Abdul Rahman ketika menjadi perdana menteri. FOTO Amirudin Sahib
Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Kuala Lumpur: Tahun ini genap 32 tahun Perdana Menteri Malaysia pertama Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj meninggal dunia.

Namun, semangat dan aura perjuangan Bapa Kemerdekaan itu 'hidup' hingga hari ini.

Antaranya melalui penyimpanan rapi banyak peninggalan barangan peribadi milik Allahyarham di bangunan Residensi dan Memorial Tunku Abdul Rahman di Jalan Dato Onn, Kuala Lumpur.

Pengarah Bahagian Arkib Negarawan, Arkib Negara Malaysia Hanizah Jonoh berkata, bangunan Residensi ialah kediaman rasmi Tunku Abdul Rahman sebagai perdana menteri yang didiaminya selama 13 tahun.

Menurutnya, bangunan berusia lebih 100 tahun ini pada asalnya ialah kediaman Residen British Negeri Selangor iaitu Frank Swettenham dan 14 Residen British Negeri Selangor yang lain.

"Meskipun Tunku Abdul Rahman sudah lama meninggal dunia, tetapi barangan milik Allahyarham, susun atur serta kedudukan barangan dalam Residensi ini masih dikekalkan hingga kini.

BAHAGIAN hadapan bangunan Residensi didaftarkan sebagai Warisan Kebangsaan. FOTO Amirudin Sahib
BAHAGIAN hadapan bangunan Residensi didaftarkan sebagai Warisan Kebangsaan. FOTO Amirudin Sahib

"Terdapat 2,300 koleksi barangan milik Allahyarham disimpan di bangunan Residensi dan Memorial Tunku Abdul Rahman yang dipamerkan kepada pengunjung.

"Beberapa proses baik pulih sudah dilakukan pada bangunan ini untuk memastikan strukturnya kekal baik dan tahan lama.

"Bangunan Residensi diiktiraf sebagai warisan kebangsaan pada 2007 oleh Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia, ketika itu iaitu Datuk Seri Dr Rais Yatim," katanya.

KOLEKSI barang-barang peribadi Tunku Abdul Rahman Putra. FOTO Amirudin Sahib
KOLEKSI barang-barang peribadi Tunku Abdul Rahman Putra. FOTO Amirudin Sahib

Hanizah berkata, penubuhan Memorial Tunku Abdul Rahman pada 1992 menjadi simbolik menghargai jasa, sumbangan dan pengorbanan Tunku Abdul Rahman sebagai watak penting yang memperjuangkan kemerdekaan negara.

"Di memorial ini, ia mempamerkan hadiah, pakaian, perabot, dokumen dan kenderaan termasuk kereta jenis Cardillac Fleetwood 1959 yang Tunku Abdul Rahman gunakan semasa menjadi perdana menteri.

"Kereta Cardillac Fleetwood 1959 yang diletakkan di laluan utama memorial sentiasa menjadi tumpuan pengunjung kerana keunikan reka bentuknya," katanya.

Katanya, masyarakat, khususnya generasi muda perlu datang ke memorial dan bangunan Residensi untuk mengetahui lebih mendalam mengenai Tunku Abdul Rahman, sekali gus dapat meningkatkan semangat patriotik dalam diri mereka.

PEJABAT peribadi Tunku Abdul Rahman Putra dibangunan Residensi. FOTO Amirudin Sahib
PEJABAT peribadi Tunku Abdul Rahman Putra dibangunan Residensi. FOTO Amirudin Sahib

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Ogos 2022 @ 7:01 AM