AMIRUL (kiri) memakai jersi merah selepas tamat peringkat keempat.
AMIRUL (kiri) memakai jersi merah selepas tamat peringkat keempat.
Oleh Azlan Muhammad Zain


Putrajaya: Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) Nur Amirul Mazuki meneruskan rentak cemerlang apabila dinobatkan Raja Bukit Jelajah Malaysia (JM) 2015 selepas berakhirnya peringkat keempat semalam.

Pelumba berusia 23 tahun berkenaan yang hadir selaku Raja Bukit Tour of Sharjah di Emiriah Arab Bersatu bulan lalu, mengumpul 14 mata secara keseluruhan.

Namun dia terikat dengan Hamid Berikkhormizi dari Pishgaman Giant Team yang turut meraih 14 mata sehingga menimbulkan bantahan dari kelab Iran itu.

Bagaimanapun kelebihan memihak kepada Amirul yang lebih banyak memenangi zon pendakian sejak peringkat pertama dipertandingkan dan dia kini hanya perlu menamatkan kayuhan peringkat kelima hari ini yang tidak menawarkan sebarang zon pendakian untuk diiktiraf secara rasmi sebagai juara.

“Terdapat kekeliruan dengan pelumba dari Iran namun kelebihan kepada saya untuk memenangi jersi merah kerana memenangi tiga zon pendakian berbandingnya. Ini kejayaan pertama saya di JM, sangat gembira,” katanya.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Disember 2015 @ 5:11 AM