Madrid: Juara Eropah Barcelona terpaksa beraksi tanpa khidmat Neymar (gambar) yang mengalami kecederaan untuk perlawanan terakhir La Liga sebelum Krismas, berdepan Deportivo La Coruna di laman sendiri sebelum ke Jepun untuk menyertai Piala Kelab Dunia.

Ketiadaan bintang Brazil itu berikutan kecederaan pangkal paha itu amat dirasai memandangkan dia pemain terhebat Barca musim ini, menyumbang 14 gol dalam 13 perlawanan selepas Lionel Messi direhatkan dua bulan akibat kecederaan ligamen lutut.

Messi juga tidak menghadiri latihan semalam atas urusan peribadi dan dilihat cuba meregangkan hamstringnya menjelang akhir perlawanan Barca menentang Bayer Leverkusen yang berkesudahan seri 1-1, namun dijangka cergas untuk bermain.

Luis Suarez direhatkan untuk kunjungan ke Jerman kerana juara bertahan itu sudah layak menyertai 16 pasukan terakhir Liga Juara-Juara dan akan kembali memburu gol untuk perlawanan kesembilan berturut-turut.

Barca terlepas beberapa peluang keemasan sebelum bolos saat akhir untuk seri 1-1 dengan Valencia dan membiarkan Atletico Madrid merapatkan jurang kepada dua mata dengan Real Madrid ketinggalan dua mata.

Mereka bakal berdepan satu lagi cabaran getir di Nou Camp menentang Deportivo la Coruna yang kembali mengecapi kejayaan selepas beberapa musim berada di liga utama dan divisyen kedua.

Lucas Perez yang menjaringkan 10 gol melonjakkan skuad Galicians ke tangga keenam dan dia gembira apabila mengetahui Barca terganggu dengan perlawanan di Jepun.

“Nampaknya jika Barca tidak menurunkan Neymar, ia memberi kelebihan kepada kami. Jika Messi, Suarez dan (Andres) Iniesta juga tidak datang dan menyimpan tenaga untuk Piala Kelab Dunia, kami terima,” katanya.

“Kami datang ke sana untuk bertanding. Mereka seri pada perlawanan terakhir namun bola sepak mereka hebat dan berada pada tahap terbaik dengan kepulangan Messi.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2015 @ 5:29 AM