Oleh Isma Ismail


Kuala Terengganu: Seorang lans koperal berusia 41 tahun dari Balai Polis Kampung Raja cedera ditetak dua lelaki bertopeng ketika berada di rumah rakannya di Jalan Rahmat, Kampung Beris Lampu di Kuala Besut, semalam.

Dalam kejadian 10.30 malam itu, mangsa hampir putus pergelangan tangan kiri, luka di lengan kiri, tangan kanan, kepala, belakang badan, paha serta betis kiri.

Mangsa dikatakan ke rumah rakannya seorang diri apabila dua lelaki bertopeng dan masing-masing bersenjatakan pedang menetaknya ketika sedang berbaring di sofa ruang tamu rumah itu.

Selepas menetak mangsa, dua suspek itu melarikan diri dengan sebuah Proton Waja.

Rakannya membawa mangsa ke Hospital Besut sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan, untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Khaled Che Lah mengesahkan kejadian dan siasatan sedang dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Disember 2015 @ 11:17 PM