PEMAIN Malaysia Cougars (jersi kuning) diasak pemain PSW Futera.
PEMAIN Malaysia Cougars (jersi kuning) diasak pemain PSW Futera.
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Malaysia Cougars membuka kempen Kejohanan Jemputan Antarabangsa Piala SuperMokh dengan langkah kanan apabila mengalahkan kelab Thailand PSW Futera 2-0 pada perlawanan pembukaan Kumpulan E, semalam.

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan A, kelab juara remaja England Manchester City tewas tipis 0-1 kepada Kashiwa Reysol dari Jepun.

Skuad bawah 13 tahun (B-13) yang juga pasukan utama Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) beraksi mantap sepanjang 70 minit perlawanan yang menyaksikan dominasi penuh ditunjukkan anak didik Lim Teong Kim pada aksi di padang D Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil itu.

Skuad negara membuka tirai jaringan menerusi Ali Imran Sukari pada minit ke-32 sebelum rakan sepasukan Muhammad Daniel Amali menambah kelebihan tuan rumah dua minit kemudian bagi menjamin tiga mata penuh.

Bagaimanapun, Teong Kim yang bertindak selaku Pengarah Teknikal PPBN jelas tidak berpuas hati dengan persembahan pemainnya dan mahu segala kelemahan itu diatasi pada aksi berikutnya.

“Dari segi keputusan memang bagus. Tapi dari segi permainan saya masih belum puas hati. Terlalu banyak masalah teknikal dalam permainan di bahagian pertahanan sehingga kepada jentera serangan.

“Kita mesti tingkatkan mutu jika mahu maju dalam bola sepak. Seperti biasa sasaran saya adalah menang. Setiap kali beraksi, kami memang nak menang tapi dengan cara permainan yang baik. 

“Untuk pembangunan bola sepak bukan saja keputusan penting, malah cara permainan juga harus betul dan selari dengan objektif serta misi pembangunan kita,” katanya ketika ditemui semalam.

Sementara itu, dua lagi wakil negara, Malaysia Tigers dan Malaysia Panthers sekadar seri ke atas lawan masing-masing Goeje Dongbu 0-0 (Korea Selatan) serta Chonburi FC (Thailand) 1-1 dalam kumpulan A dan B.

Bagi kategori B-12 pula, Malaysia Panthers menundukkan Chonburi FC 2-0 untuk meneraju carta Kumpulan B selepas pencabar Evergrande FC (China) turut menang 1-0 ke atas Seoul Jamwon (Korea Selatan).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2015 @ 9:50 AM