PELBAGAI jenis tanaman diusahakan.
PELBAGAI jenis tanaman diusahakan.
Zuliaty Zulkiffli

Projek tanaman salad dan kubis yang diusahakan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang, Kedah, kini dikomersialkan dengan tanaman lain seperti terung dan pisang yang mampu memberi hasil lumayan.

Membabitkan kerjasama Jabatan Pertanian Padang Terap, ia secara tidak langsung menceriakan balai berkenaan selain dapat menjana pendapatan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Abdul Razak Muda berkata, anggota balai bomba terbabit juga turut mengusahakan ternakan kelulut untuk mendapatkan madu.

Katanya, ia cetusan idea beliau sendiri ketika mengadakan lawatan di balai berkenaan dan mendapati banyak tanah kosong yang boleh memberi manfaat kepada anggota jika berbudi kepada tanah.

“Hasil jualan tanaman itu boleh dijadikan sumber pendapatan dan wang itu digunakan untuk keperluan balai. Malah, setakat ini saya nampak ia mengeluarkan hasil yang memberangsangkan.

“Selain BBP Kuala Nerang, ada 15 BBP lagi turut menjalankan kegiatan tanaman dan ternakan antaranya BBP Alor Setar (tanaman kulat sisir, herba campuran dan ternakan ular), BBP Jalan Raja (tanaman hidroponik seperti cili, sawi, terung dan bendi).

“BBP Bukit Kayu Hitam (tanaman pelbagai jenis herba dan ternakan puyuh), BBP Jitra (sawi, serai, pisang, durian, rambutan, cempedak, cili dan ternakan kucing hutan),” katanya ketika ditemui di pejabatnya di JBPM Kedah, baru-baru ini.

Abdul Razak berkata, selain itu, BBP Pendang pula menjalankan tanaman mempelam, BBP Sungai Petani (cendawan atau kulat, sayur-sayuran, ulam-ulaman dan projek ikan keli), BBP Aman Jaya (kelapa, markisa, durian dan ternakan ikan keli).

ANGGOTA bomba menunaikan solat jenazah ke atas enam jenazah anggota bomba yang lemas dalam operasi mencari dan menyelamat di Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15, Shah Alam, hari ini. FOTO Saddam Yusoff
ANGGOTA bomba menunaikan solat jenazah ke atas enam jenazah anggota bomba yang lemas dalam operasi mencari dan menyelamat di Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15, Shah Alam, hari ini. FOTO Saddam Yusoff

“Sementara BBP Guar Chempedak (orkid, pisang, cempedak, durian, rambutan, mata kucing, kubis, kangkung, ternakan ayam katik dan burung baji), BBP Yan pula menjalankan pertanian nipah dan padi. Begitu juga dengan BBP Serdang (cili, tongkat ali, kacip fatimah, nanas batu, ternakan ular dan ikan).

“BBP Langkawi (cili, mempelam, kelapa, ternakan ikan air tawar dan burung), BBP Persiaran Putra (tanaman hidroponik sawi dan kangkung) serta beberapa balai lain lagi yang turut melakukan aktiviti sama.

“Bagaimanapun, anggota bomba hanya menjalankan aktiviti pertanian dan penternakan ini pada waktu lapang iaitu selepas atau tiada sebarang operasi.

“Ia adalah salah satu daripada empat elemen yang perlu diberi penekanan termasuk kecergasan, pengetahuan dan kemahiran, keceriaan dan disiplin yang perlu diterapkan dalam kalangan anggota bomba,” katanya.

Menurutnya, setakat ini hasil jualan itu hanya dipasarkan untuk anggota dalaman dan belum dipromosikan kepada orang ramai kerana hasil yang diperoleh masih tidak mencukupi untuk berbuat demikian.

Sementara itu, Ketua BBP Kuala Nerang Penolong Penguasa Bomba Muhamad Nurul Iman Mohamad Rawi berkata, anggotanya turut mempunyai 16 sarang kelulut yang diternak di kawasan balai bomba.

Sarang kelulut itu diperoleh daripada bongkah kayu yang dipotong ketika menjalankan operasi pokok tumbang di daerah ini.

Katanya, dalam bongkah kayu memang ada lebah kelulut yang membuat sarang dan ia dibawa pulang ke balai untuk diternak.

“Biasanya lebah ini akan terbang mendapatkan madu bunga pada sebelah siang dan kembali ke sarang untuk memproses madu pada waktu malam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 September 2018 @ 1:04 PM