Artis dilanda kontroversi berkaitan dadah, ditangkap khalwat, masalah peri­badi dan disiplin, selalunya turut memberi kesan kepada kerjaya seni mereka. Namun, ada juga yang tidak terjejas selepas keluar penjara, sebaliknya terus mendapat soko­ngan peminat dan media. Seolah-olah kesalahan lalu mereka tiada kesan kepada kerjaya seni hingga begitu cepat masyarakat memaafkan dan melupakan kontroversinya.

Ada juga yang­ terus merudum dan sepi daripada publisiti apabila terjebak kontroversi tetapi semua itu lebih kepada masalah sendiri seperti disiplin atau sikap mereka yang tidak menghargai atau rasa diri tidak memerlukan media.

Bagi pe­nyanyi legenda rock Indonesia, Achmad Albar, 68, kontroversi melanda dirinya pada 2007-2008 dianggap hikmah besar dalam hidupnya.

Tiada riak kema­rahan di wajahnya apabila ditanya kesan kontroversi itu terhadap kerjaya seninya, sebaliknya dijawab dengan baik dan tenang ketika hadir di sidang media Konsert Hayat...45 Tahun Seniman Ramli Sarip di Istana Budaya, baru-baru ini.

Achmad diundang Datuk Ram­li Sarip menjayakan konsertnya yang bakal berlangsung di Istana Budaya pada 17 hingga 19 Oktober ini bersama Aris Ariwatan dan Dayang Nurfaizah.

Dia bersyukur kerana musibah itu banyak menyedarkan dirinya. Ia juga memberi peluang kepada­nya untuk lebih mendekatkan diri dengan Allah dan banyak belajar mengenai erti kehidupan selepas itu.

Bapa tiga anak, Fauzi, Fachri dan Fadli hasil perkahwinan de­ngan pelakon Rini S. Bono, ditang­kap di rumahnya pada 2007 selepas penemuan pil ekstasi dan dia turut dituduh memiliki dan meng­gunakan dadah serta bersubahat dengan pengedar dadah.

Achmad dipenjara lapan bulan dan dibebaskan 11 Julai 2008. Nyata gelaran rock paling 'otai' di Indonesia tidak terjejas seiring usianya dan masih aktif mengadakan konsert jelajah di Indonesia.

Selepas sidang media di Kuala Lumpur, dia bergegas pulang ke Indonesia bagi menjayakan konsert God Bless di Semarang.

Achmad bersyukur masih diterima hing­ga kini dan kekal bersama rakan-rakan God Bless selama 41 tahun dan turut merancang album baru awal tahun depan.

Soal bersara, turut difikirkan­nya malah mengakui tidak akan selamanya menyanyi. Tambah pula usianya kini dirasakan tidak mampu lagi menyanyi di pentas seperti dulu.

Tapi bila masanya, belum dapat diputuskan apakah setahun lagi, dua tahun atau tiga tahun. Segalanya bergantung kepada masa.

Penyanyi kelahiran Sura­baya, Indonesia pada 16 Julai 1946 ini bermula sebagai pelakon ketika usia remaja tetapi jiwanya lebih kepada muzik. Apabila berhijrah ke Belanda pada 1960, dia menubuhkan kumpulan Take Five (1966-1967) dan melakar kejayaan bersama Clover Leaf (1967-1972). Lagu-­lagunya, Don't Spoil My Day dan Grey Clouds diminati di sana.

Kepulangannya ke Indonesia pada 1972 bersama gitaris Clover Leaf, Ludwig Lemans, menarik minatnya bergabung dengan rakan, Fuad Hassan (dram), Donny Fattah (bass), Jockie Surjoprajogo (keybod) dan Ludwig (gitar) menubuhkan satu kumpulan.

Mereka sepakat menubuhkan God Bless sebagai persiapan menyertai pertandingan muzik pada 5 Mei 1973 dan merakamkan album pertama, God Bless pada 1975.

Kumpulan ini dipilih sebagai artis undangan untuk pembuka konsert Deep Purple di Jakarta pada 1975 hingga Achmad Albar digelar superstar rock Indonesia.

Dikenali dengan imej rambut afro atau kribo, Achmad bergabung pula dengan Ucok Harahap (vokalis AKA Band yang juga berambut afro) melalui Duo Kribo pada 1977 dan menghasilkan album Neraka Jahanam (1977), Pelacur Tua (1978) dan Panggung Sandiwara (1978).

Pada 1979, Achmad mengejut­kan peminat apabila menghasil­kan album dangdut, Zakia hasil idea wartawan majalah muzik Junior, Masheri Mansyur kerana dangdut ketika itu dianggap muzik kampungan.

Lagu Zakia ciptaan Achmad dan muzik gubahan rakannya, Ian Antono diminati sekaligus meng­angkat irama dangdut. Ia bukan saja menangkap jiwa masyarakat di Indonesia malah hingga ke Si­ngapura apabila Sweet Charity memilih lagu ini untuk album kedua mereka, Pelarian pada 1980.

Kemudian Jinbara turut merakamkan semula lagu ini tiga tahun lalu. Lagu Gadis Melayu yang turut dimuatkan dalam album Zakia, menjadi pilihan Othman Ham­zah sekaligus popular menerusi lagu itu awal 80-an.

Cintanya pada muzik jelas apabila Achmad bukan hanya bergerak solo, bersama kumpulan dan duo, malah apabila God Bless menyepi sepanjang 80-an hingga pertengahan 90-an, dia turut tampil bersama penyanyi lain.

Antara album dihasilkan, Syair Kehidupan (1980) bersama Ian Antono, Dunia Huru Hara dan Dunia Dibakar Api (1988) bersama Areng Widodo, Kartika (1989) bersama Gito Rollies, Secita Cerita, Lang­kah Pasti dan Scenario bersama Fariz RM, Tangan Baja bersama Farid Hardja serta Jangan Ada Luka (1996) bersama Nicky Astria.

Pada 1991, Gong 2000 dibarisi Ian Antono, Albert Wijaya, Yaya Muktio (dram), Harry Anggoman (keyboard) dan Donny mencari vokalis untuk menjayakan Konsert Gong 2000 dan akhirnya memilih Ahmad Albar kerana dia dianggap terbaik ketika itu.

Bersama Gong 2000, Achmad merakamkan empat album, Bara Timur (1991), Gong Live (1992), Laskar (1993) dan Prahara (2000). Kumpulan ini dianggap God Bless kedua kerana ada gandingan Ian, Donny dan Achmad Albar.

Kembara God Bless bukan hanya melalui lagu malah di­undang Search berkongsi pentas pada pada 7 Februari 2004 dan 17 Oktober ini mencatat sejarah buat Achmad Albar apabila ber­aksi di Istana Budaya.

Ramli, 62, yang digelar Papa Rock mengakui Glod Bless idolanya ketika awal kemunculan Sweet Charity pada 1978 apabila sering membawakan lagu mereka seperti Pelacur Tua.

Selain Zakia, Sweet Charity turut merakamkan lagu Raja Kumbang dan Ramli merakam­kan Pernyataan dalam album solonya.

Katanya, setiap artis mempu­nyai idola dan dari situ mereka berusaha mencari warna me­ngenai apa yang dicari dan di­inginkan.

Malah artis terkenal Barat juga bermula dari pengaruh artis diminati sebelum dikenali seperti The Beatles dan The Queen tetapi lama kelamaan menemui identiti sendiri.

Untuk konsert sempena 45 tahun pembabitannya dalam seni, Ramli berbesar hati dapat membawa dua anggota God Bless, Achmad Albar dan Ian Antono bersama. Achmad beraksi di Kuala Lumpur manakala Ian di Singapura.

Selain Achmad Albar dan Ian Antono, God Bless kini dibarisi, Donny Fattah, Abadi Soesman dan Yaya Muktio.

Katanya, tiada masalah me­ngundang dua nama besar ini kerana mengenali mereka secara peribadi dan sering berhubung dan berbalas kunjungan.

Dalam konsert itu nanti, Achmad dijangka menyampaikan empat lagu antaranya Zakia, Gadis Melayu dan Raja Kumbang.

Adakah dua ikon rock ini bakal bergabung di pentas me­nyampaikan lagu Zakia atau lagu istimewa lainnya seperti Pernyataan? Kita tunggu konsertnya bermula Jumaat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Oktober 2014 @ 9:27 AM