BABAK menarik dalam drama Zahira. Gambar kecil, Khalid.
BABAK menarik dalam drama Zahira. Gambar kecil, Khalid.
Oleh Rudy Imran Shamsudin.

[email protected].

Bergelar pengarah dalam usia muda membuatkan ramai berasa bangga dengan pencapaian Ahmad Khalid Ahmad Nadzri, 28.

Waktu sama adik Ahmad Idham itu membuktikan kemampuannya menerusi drama bersiri Runtun Qalbu yang mencatat jumlah tontonan tinggi sewaktu disiarkan di TV3 sebelum ini.

Begitupun ada yang memberi pandangan Khalid bertuah kerana laluannya duduk di kerusi pengarah lebih mudah kerana abangnya memiliki profil tinggi dalam industri perfileman dan dikenali sebagai pengarah prolifik.

Mudah kerana ruang sentiasa terbuka untuknya bekerja dengan abang sendiri dan mencuba melakukan apa yang ingin dilaksanakan dalam dunia penerbitan filem mahupun drama.

Ditemui di lokasi drama terbaru arahannya, Zahira yang bakal mengisi slot Samarinda di TV3, Khalid tidak menafikan perkara itu dengan menjelaskan sebelum mengarah dia terlebih dulu menimba pengalaman dalam kebanyakan produksi filem arahan Ahmad Idham.

"Namun, peluang yang diperoleh tidak datang begitu saja sebalik-nya saya dilatih bekerja dari bawah. Tambahan pula saya menuntut ilmu lakonan dan pengarahan di Aswara. Segala ilmu dan pengalaman saya gunakan sebaik mungkin ketika berkarya," katanya.

Dia turut meluahkan rasa syukur apabila percubaan pertama menghasilkan Runtun Qalbu mendapat maklum balas positif penonton dan stesen televisyen, sekali gus menjadikan kerjayanya sebagai pengarah berkembang baik.

"Awal pembabitan sebagai pengarah tidak dinafikan ada pihak cuba bandingkan kerja saya dan Ahmad Idham.

"Sebagai orang baru saya bertuah kerana mendapat bimbingan Ahmad Idham yang lebih kenal dan faham industri perfileman tempatan. Seperkara ingin saya tegaskan walaupun adik, tiada keistimewaan diberikan kepada saya apabila bekerja dengannya. Malah, layanannya lebih keras kerana mahu saya menjadi yang terbaik.

"Dia juga pernah berpesan, sekiranya mahu jadi pengarah biarlah karya yang saya hasilkan itu jauh lebih baik dengan apa yang pernah dia hasilkannya sebelum ini," kata Khalid.

Bercerita lanjut mengenai Ahmad Idham, Khalid berkata abangnya itu akan melihat sendiri bagaimana dia melaksanakan kerja suntingan.

"Kerja suntingan drama dan filem sangat penting. Dia mengajar saya bagaimana hendak mewujudkan rasa dalam karya dihasilkan. Begitu juga sekiranya saya ada masalah, dia akan beri nasihat dan cari jalan penyelesaian," katanya.

Dalam berkongsi idea dan pe-ngalaman jelas Khalid belum pernah lagi berlaku pergeseren antara mereka meskipun tidak bersetuju dengan pandangan masing-masing.

"Selalunya Ahmad Idham akan memberikan idea dan penjelasan terhadap pandangan itu. Namun, itu tidak bermakna saya harus mengambilnya bulat-bulat. Apa yang penting ia berbalik kepada citarasa saya sebagai pengarah untuk merencanakan karya dihasilkan," katanya.

Zahira menggandingkan Adi Putra dan Zara Zya dan mengharapkan apa yang dihasilkan itu dapat diterima penonton sepertimana Runtuh Qalbu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Oktober 2014 @ 9:16 AM