AJAK tegaskan tetap bersama Shahrol meskipun kendali program sendiri.
AJAK tegaskan tetap bersama Shahrol meskipun kendali program sendiri.
Oleh Rudy Imran Shamsudin.

[email protected].

Kebelakangan ini anggota kumpulan Shiro, Mohd Hanaffi Razak dan Shahrol Azizie Azmi sering muncul solo malah mereka mempunyai program dikendalikan secara berasingan.

Jika Shahrol mengendalikan program Suka Lettew bersama Alif Sattar dan Nas'T di Astro Ria, Mohd Hanaffi yang bergelar Ajak pula lebih menonjol sebagai pengacara program infotainmen popular, Galaksi di TV9 dan juga I Boom menerusi saluran Bintang 141, Astro.

Musim pertama IBoom (13 episod) mendapat sambutan menggalakkan dan kini pembikinan musim kedua rancak dijalankan.

Jika musim pertama artis Indonesia datang ke Malaysia sebagai undangan, team IBoom selanjutnya membuat rakaman di Jakarta bersama artis terkenal Indonesia. Selebriti Metro Ahad berpeluang membuat liputan rakaman di sana, baru-baru ini.

Tentunya pembabitan Ajak sebagai pengacara menimbulkan tanggapan bahawa kumpulan itu sukar bertahan lama apatah lagi kedua-duanya lebih menonjol secara solo menerusi program dikendalikan.

Bagaimanapun Ajak menafikan mereka akan berpecah dan membawa haluan masing-masing, sebaliknya mengatakan masih bersama dalam pelbagai program terutama filem mahupun drama.

"Sebelum Shiro ditubuhkan lagi, Shahrol dikenali sebagai pelakon dan kami menubuhkan Shiro sewaktu menyertai Raja Lawak.

"Pada peringkat awal, saya agak tercicir berbanding Shahrol yang lebih banyak menerima tawaran tetapi kami tidak pernah meletakkan syarat saya dan Shahrol harus muncul bersama dalam apa juga program.

"Sebagai kawan dan senior dalam bidang seni, Shahrol juga banyak memberi bimbingan dan tunjuk ajar sehinggalah saya mendapat tawaran mengacara Galaksi dan IBoom. Ini adalah rezeki dan kami saling me­nyokong," katanya.

Ajak juga akui sejak diberi peluang mengendalikan Anugerah Bintang Popular BH 2013 (ABPBH 2013) awal tahun ini, banyak pihak melihat bakatnya sebagai pengacara.

"Sebelum ini saya sudah me­ngendalikan IBoom musim pertama. Ternyata program menampil­kan informasi dan carta lagu dari artis seberang ini mendapat tontonan tinggi di saluran Bintang sehing­ga dihasilkan musim kedua.

"Saya senang bekerja dengan produksi IBoom dan peluang bertemu artis Indonesia membolehkan saya berkongsi ilmu dan pengetahuan. Apatah lagi untuk musim kedua ini, penggambarannya dijalankan sepenuhnya di Jakarta. Ia merupakan peluang dan lembaran baru untuk kerjaya seni saya," katanya.

Pembabitannya dalam IBoom juga disifatkannya sangat hebat kerana menggabungkan penonton tempatan dan juga seberang.

Katanya, peluang diberikan Broadway Media dianggap sebagai peluang untuk mengembangkan bakatnya untuk dikenali di negara jiran.

"Sebelum ini, sewaktu kali pertama bersiaran, sudah ada penonton dari Indonesia datang dan menyapa saya. Pada saya, impak program ini sangat besar," katanya.

Sebagai pengacara program, Ajak tidak nafikan dia tidak dapat lari daripada kritikan apabila penonton tempatan menegurnya menggunakan bahasa Indonesia terutama membabitkan temubual bersama artis seberang.

"Saya sedar perkara itu tetapi memandangkan ia program untuk tontonan dua negara, saya terpaksa melakukannya. Hendak diikutkan, bahasa Indonesia saya tidaklah bagus. Mungkin sewaktu temubual dibuat, saya terikut-ikut lenggoknya.

"Seperkara lagi, ada perkataan bahasa Melayu tidak difahami artis yang ditemubual menyebabkan saya sebagai pengacara, harus seimbang­kan supaya temubual dilakukan berjalan lancar.

"Pada saya, ia tidak salah kerana sesuai dengan konsep program, lainlah jika ia hanya untuk tontonan tempatan semata-mata. Kalau saya buat begitu, ia memang tidak sesuai dan tidak kena gaya," katanya.

Selain pembaharuan terhadap pengisian musim kedua ini, Boardway Media turut menambahkan durasi siarannya daripada setengah jam kepada satu jam.

Ia turut menampilkan lebih ramai artis popular termasuk Ashanti, Inul Daratista, penyanyi utama kumpulan Gigi, Arman; Kerispatih, Ungu, Setia Band, Once dan kumpulan Govinda yang turut menampilkan pencipta lagu, Ade yang pernah menghasilkan lagu untuk Datuk Siti Nurhaliza dan Ning Baizura.

Sepanjang empat hari di Jakarta, antara artis terbabit ialah Ashanty, Govinda dan Fredy. Ashanty yang kini hamil enam bulan, hadir bersama dua anak Anang, Aurell dan Azreel.

Pengurus Besar Broadway Media, Shafirul Nizam Haron berkata, pihaknya menjalin usahasama dengan produksi terkenal Indonesia, Indigo dan My Music membabitkan tenaga kerja produksi dan artis sejak musim pertama lagi.

Katanya, penambahan durasi dilakukan atas permintaan penonton yang berasa tidak puas dengan tempoh singkat temubual bersama artis popular seberang.

"Musim kedua juga turut memperkenalkan segmen baru apabila Ajak meminta tip bagaimana hendak menjadi penyanyi yang baik. Pada akhir rancangan, Ajak menyanyi di hadapan penyanyi mahupun komposer ditemui untuk mereka nilaikan," katanya.

Shafirul Nizam akui kehadiran Ajak di Indonesia juga bukan kosong sebaliknya harus menyelesaikan tugasannya dengan menghasilkan dan menyanyikan lagu pada akhir program.

"Jika benar-benar bagus, tidak mustahil selepas ini Ajak bakal dikenali sebagai penyanyi," katanya.

Selain itu program yang bakal disiarkan setiap Sabtu, jam 12 tengah hari pada Disember nanti, turut menampilkan segmen 'speaker pecah' di mana Ajak dan artis terbabit akan menyanyi secara spontan dan tidak mengikut lirik yang betul.

(Penulis menyertai rombongan Broadway Media ke Jakarta, Indonesia, baru-baru ini)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Oktober 2014 @ 9:10 AM