Menjadikan pentas Akademi Fantasia 2014 (AF2014) sebagai landasan untuk menjadi penyanyi, namun rezeki Nina Nadira, 23, lebih menyerlah dalam bidang lakonan dan pengacaraan.

Selepas setahun berlalu, dia masih belum bergelar penyanyi. Dia akur laluan untuk menjadi penghibur bukannya mudah.

Kehadiran Nina dalam industri mula disedari ketika menjadi hos program hiburan hLive! di Astro. Peluang itu membantu melonjakkan popularitinya.

Berlakon dalam drama M.A.I.D dan bakal muncul dalam rantaian Sesal Separuh Nyawa, Nina tidak kisah andai karier pengacara dan pelakon lebih menyerlah berbanding nyanyian.

Dia percaya semua itu terjadi ada sebabnya. Dia akan menggunakan apa saja laluan bagi mengembangkan kerjayanya. Peluang mencuba cabang seni lain membuatkan dirinya semakin diterima dan seronok menimba pengalaman sebagai hos dan pelakon.

Bagaimanapun, tiada istilah mengalah dalam dirinya. Dia tetap mengimpikan bakat nyayiannya dihargai suatu hari nanti. Dia mendapat tawaran merakamkan lagu tetapi terpaksa ditolak kerana berasa lagu berkenaan kurang sesuai dengan dirinya.

Menangguhkan pengajiannya di Universiti Deakin Melbourne, Australia, ada yang mengatakan dia tidak mampu menamatkan pengajian, sedangkan hakikatnya Nina mahu menyambung semula kuliahnya pada tahun hadapan.

Katanya, dia sengaja memberi masa kepada diri selepas tamat AF tahun lalu untuk membina nama serta meĀ­ngumpul pengalaman dalam industri seni. Dia bercadang untuk serius dalam bidang nyanyian selepas tamat pengajian nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2015 @ 5:02 AM