ROSSA (kanan) bersama Afgan. FOTO arkib NSTP
ROSSA (kanan) bersama Afgan. FOTO arkib NSTP
Sudirman Mohd Tahir


PENYANYI popular Indonesia, Datuk Rossa menafikan gosip mengatakan dia sudah bertunang dengan penyanyi Afgan.

Persoalan itu timbul selepas Rossa atau nama sebenar Rossa Roslaina Sri Handayani, 39, mempamer cincin yang dipakai ketika bergambar bersama penyanyi lagu Bukan Cinta Biasa itu di laman Instagram miliknya, kelmarin.

"Mana ada bertunang, memang hari itu saya dan Afgan ada bergambar menggunakan aplikasi Boomerang.

"Cincin yang dilihat adalah cincin yang selalu saya pakai. Soal bertunang hanya tanggapan orang saja, sebaliknya tidak," katanya kepada Tribunnews.com

Rossa berkata, dia tidak menyangka jika aksinya melambaikan cincin mengundang salah faham di kalangan peminat.

Kisah hubungan mengenai Rossa dan Afgan sering diperkatakan peminat. Malah sebelum ini, sudah beberapa kali timbul gosip mengatakan mereka bakal berkahwin.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka selesa meletakkan hubungan itu sekadar kawan baik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2017 @ 11:35 AM