MOHAMED Azmin (dua dari kiri) melancarkan Pameran Antrabangsa Selangor 2015.
MOHAMED Azmin (dua dari kiri) melancarkan Pameran Antrabangsa Selangor 2015.

Seri Kembangan: Kerajaan Selangor optimis penubuhan Komuniti Ekonomi Asean (AEC) dijangka merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi Selangor tahun depan terutama membabitkan kemasukan pelaburan langsung asing (FDI).

Tahun lalu, negeri berkenaan mencatatkan sekitar RM7.2 bilion tarikan pelaburan dengan 46 peratus daripadanya FDI dan menjangkakan sumbangan FDI pada tahun ini mengukuh sama seperti 2014.

Menterinya Besarnya, Mohamed Azmin Ali berkata, Selangor menjadi penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 22.4 peratus diikuti Kuala Lumpur 15.1 peratus dan Sarawak 10.1 peratus pada tahun lalu.

“Kami percaya mampu mencatatkan RM8 bilion tarikan pelaburan dan merekodkan pertumbuhan lima peratus perkembangan ekonomi tahun ini bersandarkan kemampuan negeri ini menjadi hab perniagaan asing dan domestik.

“Melihat kepada perkembangan ini, kita juga peka dengan menyediakan tenaga kerja pakar di kalangan rakyat tempatan yang boleh mendapatkan peluang pekerjaaan hasil limpahan ekonomi ini,” katanya pada majlis pelancaran Ekspo Antarabangsa Selangor 2015 (SIE 2015) di sini, semalam.

Ekspo berkenaan yang dianjurkan Kerajaan Selangor dan tujuh dewan perniagaan menampilkan pelbagai pameran produk runcit dan enterpris dari pelbagai negara yang berlangsung semalam hingga 28 November ini dan dibuka pada jam 10 pagi hingga 6 petang.

SIE 2015 juga menjadi platform kepada pemain industri tempatan dan asing untuk pemadanan perniagaan dan pelaburan yang mana ia disertai 144 syarikat tempatan dan 168 syarikat asing.

Azmin berkata, penganjuran ekspo itu dijangka dapat meningkatkan FDI Selangor memandangkan majoriti peserta pameran itu adalah di kalangan pemain industri asing antaranya China, Amerika, Belgium, Thailand dan Indonesia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2015 @ 6:50 AM