Pemain Sarawak United ceria raih tiga mata menewaskan Kuching City di Stadium Hang Jebat Paya Rumput. FOTO Nazri Abu Bakar
Pemain Sarawak United ceria raih tiga mata menewaskan Kuching City di Stadium Hang Jebat Paya Rumput. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


Melaka: Sarawak United unggul di persada Liga Perdana selepas berjaya menewaskan Kuching City 2-0 di Stadium Hang Jebat Paya Rumput, sebentar tadi.

Sarawak yang tampil bertenaga dalam misi meraih mata maksimum di laman sendiri tidak menunggu lama untuk merobek gawang pelawat menerusi jaringan bekas penyerang Melaka United, Uche Agba pada minit ke-9 perlawanan.

Gol terbabit berpunca hasil hantaran tepat pemain sayap Christie Jayaselan disambut baik Agba yang bijak melakukan tandukan menewaskan penjaga gol Mohd Iqbal Suhaimi.

Namun anak buah jurulatih Irfan Bakti Abu Salim juga bertindak agresif untuk membolosi gawang Sarawak namun percubaan Joseph Kallang Tie pada minit ke-20 dan Dzulazlan Ibrahim (m-33) tinggi melepasi palang gol.

Namun ketika Kuching City giat berusaha mencari gol penyamaan mereka terhukum menerusi jaringan Stuart Wark pada minit ke-45 hasil sepakan sudut Changhoon Lee.

Babak kedua menyaksikan saingan lebih sengit dengan Kuching City terus cuba menggandakan asakan untuk merapatkan jurang seterusnya menyamakan kedudukan dan mengintai kemenangan.

Bagaimanapun, empat percubaan menerusi Yuta Suzuki (m-60), Bryan Jones (m-62), Alif Hassan (m-64) dan Mohd Hairol Mokhtar (m-83) gagal memecah kebuntuan jaringan.

Sementara anak buah jurulatih E Elavarasan yang kelihatan selesa dengan dua jaringan terbabit sesekali mencuba pada babak kedua untuk menambah jaringan dalam masa sama kental bertahan bagi mempertahankan kelebihan.

Keputusan terbabit menyaksikan Sarawak United unggul di persada liga selepas tiga kemenangan berturut-turut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mac 2021 @ 11:26 PM