Baru-baru ini, Cik Pang menemani teman berurusan di kaunter Jabatan Imigresen untuk perbaharui pasport. Sementara menunggu pasport siap dalam satu jam, sempatlah teman Cik Pang berborak.

Rancak berborak, terkeluar cerita pasal penyanyi dan komposer kelahiran Singapura yang kini membina nama di Malaysia, siapa lagi kalau bukan Awi Rafael.

Kata teman Cik Pang, selama ini penyanyi itu didakwa ‘kantoi’ bekerja tanpa permit di Malaysia! Sebaliknya selama ini dia sering menyalahgunakan pas lawatan dengan melakukan banyak aktiviti seni terutama persembahan nyanyian di Malaysia.

Dia juga dikatakan pernah ditahan imigresen atas kesalahan itu tapi Cik Pang tak pasti apa tindakan yang dikenakan kepadanya.

Kalau betul apa yang berlaku, ia perkara yang tidak sepatutnya berlaku kerana negara kita ada undang-undang yang wajib dihormati.

Kebetulan negara kita memang ramai artis dari luar negara yang membina nama sedari dulu. Jadi, tak mustahil isu-isu berkaitan timbul.

Nasihat buat artis bukan warganegara Malaysia yang mencari sesuap nasi di sini, tolong hormat undang-undang Malaysia. Bak kata pepatah, masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2015 @ 5:10 AM