MANGSA diselamatkan pasukan bomba sebelum dihantar ke Hospital Tampin untuk rawatan. FOTO ihsan bomba
MANGSA diselamatkan pasukan bomba sebelum dihantar ke Hospital Tampin untuk rawatan. FOTO ihsan bomba
Oleh Sitie Nurhajatulziemah Mohd Nor

Rembau: Seorang ahli muzik terpaksa menahan sakit selama lapan jam akibat mengalami kekejangan kaki ketika menuruni puncak Gunung Datuk, di sini, sebelum berjaya diselamatkan pasukan bomba, malam tadi.

Mangsa, Harith Samsaimon, 26, dari Kajang, Selangor mula mendaki gunung berkenaan kira-kira jam 9.30 pagi bersama 10 rakannya sebelum mengadu sakit dan hampir pitam ketika menuruni gunung jam 3.30 petang.

Difahamkan, usaha rakan membantu membawa mangsa turun tidak berhasil sebelum seorang rakannya menghubungi bomba meminta bantuan.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Kasim Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan jam 5.27 petang dan operasi menyelamat bermula jam 7.55 malam.

"Mangsa ditemui dalam keadaan lemah dan dibawa turun kira-kira jam 11.10 malam," katanya mangsa dikejarkan ke Hospital Tampin untuk menerima rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2015 @ 12:13 PM