JASMI (kiri) berharap program Zakat Berbakti dapat menjawab segala persoalan mengenai kutipan zakat.
JASMI (kiri) berharap program Zakat Berbakti dapat menjawab segala persoalan mengenai kutipan zakat.
Oleh Nor Akmar Samudin


Ke mana perginya wang kutipan zakat, di mana ia dilabur dan disumbangkan serta siapa yang sebenarnya berhak untuk menerima wang itu?

Ini antara persoalan dan kemusykilan dalam kalangan masyarakat Islam negara ini dan ramai yang tidak begitu jelas mengenai kegunaan dana zakat itu.

Sehubungan itu, bagi menjawab segala persoalan terbabit, TV AlHijrah bersama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menerbitkan program Zakat Berbakti sebanyak 26 episod yang akan ditayangkan setiap Sabtu jam 9.30 malam bermula 21 November ini.

Sebanyak 13 episod program dengan ‘tagline’ Zakat Diberi Zakat Menanti itu sudah disiapkan manakala bakinya masih menjalani penggambaran.

Penerbitnya, Jasmi Shahir berkata, Zakat Berbakti adalah program berkonsepkan majalah memaparkan perjalanan dan aktiviti MAIWP dalam melaksanakan proses pengagihan zakat secara sistematik, telus serta efisien.

“Kita berharap dengan adanya program ini dapat melerai dan menjawab pertanyaan masyarakat Islam di manakah wang kutipan zakat itu disalurkan.

“Kutipan zakat di Wilayah Persekutan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan adalah kedua tertinggi selepas Selangor. Sebahagian besar digunakan untuk pendidikan daripada kanak-kanak yang bersekolah tadika, tahfiz, sekolah rendah, sekolah menengah hingga pusat pengajian tinggi,” katanya dalam sidang media program berkenaan, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah Datuk Wan Alias Wan Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Datuk Zainal Abidin Jaffar.

Jasmi berkata, bagi memudahkan masyarakat berurusan dengan MAIWP, pusat agihan zakat ditubuhkan di setiap kawasan Parlimen dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) manakala yang terbaru di UTC Keramat, Kuala Lumpur.

“Kini terdapat 65,000keluarga asnaf di ketiga-tiga Wilayah Persekutan dan MAIWP mewujudkan Skuad Jejak Zakat (SJZ) untuk mencari keluarga asnaf yang tercicir. Skuad ini bekerjasama dengan wakil rakyat dan Ahli Parlimen kawasan terbabit untuk mengesan golongan asnaf di kawasan mereka.

“MAIWP akan membantu mereka supaya dapat menikmati kehidupan lebih baik dan selesa. Mereka akan diberi kemudahan, bantuan dan tunjuk ajar sehingga suatu hari nanti tidak lagi menjadi fakir miskin di negara kita,” katanya.

Jasmi berkata, sebelum ini golongan asnaf terpaksa mengisi 10 muka surat borang maklumat, tetapi sekarang dipermudahkan menjadi dua muka surat saja.

Dalam pada itu, MAIWP turut menyediakan 28 skim bantuan merangkumi aspek keperluan asasi, pendidikan, perubatan, perumahan, bantuan berdikari, dermasiswa pelajar, bantuan kecemasan dan kebajikan.

Zakat Berbakti diacarakan selebriti TV AlHijrah Amin Idris yang bersama-sama kru penerbitan turun padang bagi melihat sendiri proses sebelum dan selepas pengagihan zakat menerusi skim yang disediakan untuk memberi gambaran lebih jelas kepada penonton.

Program terbabit turut memaparkan temu bual dengan tokoh pemimpin negara, agamawan dan penjawat jawatan tertinggi di MAIWP dan Pusat Pungutan Zakat MAIWP (PPZ-MAIWP).

Ia termasuk pegawai badan berkenaan bagi memberi penjelasan mengenai hukum-hakam dan isu berkaitan zakat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2015 @ 8:30 AM