RANGKAIAN berbeza mengikut jenis kerosakan disediakan.
RANGKAIAN berbeza mengikut jenis kerosakan disediakan.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib


Jenama produk rambut profesional, L’Oreal Professionnel Paris memperkenalkan rangkaian Pro Fiber menawarkan rawatan pembaikan pertama yang tahan lebih lama bagi menangani rambut rosak.

Pro Fiber dicipta daripada penyelidikannya yang memiliki pemahaman unik mengenai rambut rosak dengan formulasi luar biasa makmalnya serta pembabitan kepakaran penata rambut L’Oreal Professional.

Ia dirumus dengan kombinasi bahan aktif unik yang berupaya menembusi serat rambut dan merawatnya menjadikan rambut kekal sihat malah menyediakan gentian baru dari akar ke hujung seolah-olah rambut tidak pernah rosak.

Dengan penyelidikan selama 15 tahun, rangkaian penjagaan rambut Pro Fiber dihasilkan bagi memenuhi keperluan dan kehendak wanita masa kini yang mudah terdedah dengan kerosakan rambut.

Pengurus Kanan Pemasaran L’Oreal Professionnel Yim Jin Sou berkata, selepas bertahun-tahun penelitian intensif pada rambut rosak, makmal penyelidikannya mengembangkan teknologi perawatan rambut paling sofistikated masa kini menerusi APTYL 100 Molecular Complex iaitu teknologi pertama yang memberi manfaat serat paling tahan lama kepada kesihatan rambut.

“Jika dulu anda perlu ke salun rambut untuk membaiki kerosakan rambut, namun teknologi itu membolehkan rambut kembali pulih malah lebih menyihatkan dalam tempoh enam minggu dengan hanya empat kali cucian di rumah.

“Kami menyediakan rangkaian berbeza mengikut jenis kerosakan iaitu Reboost, Rectify, Restore, dan Reconstruct,” katanya pada majlis pelancaran Pro Fiber di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Majlis dimeriahkan dengan penampilan fesyen rambut sebagai upacara simbolik kepada pelancaran Pro Fiber terbaru daripada duta dandanan mereka iaitu Albert Nico, Andy Chan, Kevin Woo, Miko Au, dan Simon Koh dengan ilham interpretasi artistik.

Rawatan rumah Pro Fiber menyediakan penjagaan rambut seperti syampu, pe­lembap, topeng, dan rawatan cuci mengikut peringkat kerosakan berbeza mengikut individu.

Bagi kerosakan minimum, rangkaian Reboost memberikan rambut lebih lembut, licin, dan berkilat hasil formula daripada khasiat molekul.

Kerosakan peringkat pertama akibat dandanan menggunakan haba yang terlalu kerap atau mewarna rambut menyebabkan kerosakan pada kutikel rambut membuatkan rambut keras, kusam, dan nipis di bahagian hujung. Rectify menyediakan rawatan dengan manfaat madu, bunga kemboja dan buah-buahan sitrus bersama gabungan vanila dan kelapa yang boleh membaiki gentian rambut.

Bagi kerosakan tahap dua, kebanyakannya disebabkan pewarna rambut dan kerap meluruskan rambut menyebabkan kutikel dan korteks rambut rosak teruk.

Rangkaian Restore membantu melembapkan rambut dan ia serta-merta menembusi serat rambut supaya lebih sihat bagi menghasilkan rambut yang lebih bersinar dan lembut, manakala rangkaian Reconstruct disediakan kepada mereka yang sudah melalui aktiviti agresif kepada rambut mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 November 2015 @ 5:02 AM