KETUAI konvoi hantar bantuan kepada pelarian Syria.
KETUAI konvoi hantar bantuan kepada pelarian Syria.

Peninju Britain Amir Khan (gambar) menayangkan Range Rover edisi khas yang dimilikinya minggu lalu ketika bekas juara light welterweight WBA dan IBF mengunjungi sebuah spa di Manchester.

Peninju kelahiran Bolton yang membeli edisi khas pacuan empat roda ‘King Khan’ awal tahun ini mempunyai plat nombor peribadi yang kelihatan seperti perkataan ‘boxing’.

Khan dilihat mening­galkan Skin Health Spa Rabu lalu, malah turut bergambar dengan polis trafik di luar premis yang terletak di St James’s Square.

Namun di sebalik gaya hidup mewahnya, Jumaat lalu Khan mengesahkan akan mengetuai konvoi bantuan yang akan dihantar kepada pelarian Syria di pulau Lesbos di Greek.

Menerusi video yang dimuat naik di laman rasmi Instagram, Khan berkata: “Rakyat Syria melalui penderitaan yang hebat dan mereka perlukan bantuan.

“Sedikit sumbangan sekalipun akan memberikan makna besar buat mereka yang perlukan sokongan kita.”

Konvoi membabitkan kerjasama di antara Yayasan Amir Khan dan badan kebajikan PennyAppeal berlepas dari Bolton hari ini.

“Remuk hati saya melihat gambar kanak-kanak yang kehilangan nyawa ketika keluarga mereka lari daripada konflik yang mengejutkan itu,” Khan dilaporkan sebagai berkata di Mirror.

“Apa yang lebih merisaukan lebih ramai akan kehilangan jiwa melainkan jika kita memberikan bantuan segera.

“Kami mendapat berita mengenai rakyat di negara lain seperti Jerman yang banyak membantu pelarian ini dan saya tahu rakyat United Kingdom juga prihatin dan pemurah.

“Konvoi ini adalah cara terbaik untuk semua orang memberi bantuan.”

Khan menggesa orang ramai menderma pakaian yang tidak diperlukan, makanan dalam tin, bantuan perubatan asas, susu bayi dan lampin kepada @polishandglow di Manchester dan dia sendiri akan menyampaikan bantuan kepada pelarian terbabit.

Adeem Younis dari PennyAppeal berkata: “Setiap hari pelarian tiba di pantai Eropah selepas menempuhi perjalanan yang menakutkan dengan hanya sehelai sepinggang.

“Barangan yang diberikan akan memberi makna yang besar, memberi harapan kepada mereka. Kami gembira dapat bekerjasama dengan Amir.”

Peninju berusia 28 tahun itu yang memenangi lima pertarungan terakhirnya selepas kalah berturut-turut kepada Lamont Perterson dan Danny Garcia, masih belum menjejakkan kaki di gelanggang selepas menewaskan Chris Algieri Mei lalu.

Khan sekian lama mahu menentang Floyd Mayweather yang me­ngesahkan akan bersara selepas meraih kemenangan ke atas Andre Berto Sabtu lalu, manakala pertarungan dengan Manny Pacquiao juga dalam perancangan.

Promoter peninju Filipina itu, Bob Arum menegaskan pertarungan itu masih boleh diadakan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 September 2015 @ 5:01 AM